Followers

Sunday, April 18, 2010

Gerbang baru hubungan Malaysia-Amerika

WASHINGTON: Walaupun pada mulanya pertemuan antara mereka minggu lalu dilorongkan oleh isu berkaitan ancaman keganasan nuklear, tetapi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Barack Obama turut memanfatkan peluang itu untuk meningkatkan keakraban hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika.

Di luar kerangka Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear hasil inisiatif Obama, yang ingin memastikan bahan nuklear tidak jatuh ke tangan kumpulan pengganas,kedua-dua pemimpin itu telah mengadakan perbincangan dua hala untuk julung kalinya sebelum ia disusuli pula oleh perbincangan yang melibatkan pegawai pentadbiran dan sektor swasta kedua-dua pihak.
Setelah menyandang jawatan masing-masing selang 10 minggu antara satu sama lain, Najib dan Obama berusaha untuk memperbaiki dan meletakkan kembali hubungan Malaysia-Amerika pada kedudukan lebih memberangsangkan daripada keadaan sebelum ini, yang ada kalanya tidak begitu menggembirakan, di bawah pentadbiran lama.
Pemangku Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang mengiringi Najib di sini menceritakan tentang bahasa tubuh kedua-dua pemimpin berkenaan ketika
mereka mengadakan pertemuan dan tentang perbincangan secara berterus terang
antara mereka berhubung pelbagai isu antarabangsa, termasuk Model Ekonomi Baru
(MEB) yang diumumkan baru-baru ini.

Najib berkata beliau yakin Obama akan lebih mengambil kira kedudukan
Malaysia dalam pentadbirannya dan menjangka hubungan antara kedua-dua negara pada masa akan datang akan memasuki fasa lebih menarik dan produktif.

"Sesungguhnya, lawatan ini telah membuka lembaran baru dalam kerjasama
antara Amerika dan Malaysia dan kami akan bekerjasama dalam bidang yang memberi
manfaat kepada kedua-dua negara," kata Najib kepada wartawan Malaysia.

Mesyuarat dua hala antara Najib dan Obama mengagumkan banyak pihak
memandangkan beliau adalah antara segelintir pemimpin yang mendapat kesempatan
untuk bertemu secara peribadi dengan Obama daripada 46 orang yang dijemput
menghadiri sidang kemuncak dua hari itu dan beliau adalah satu-satunya
pemimpin dari enam negara Asia Tenggara yang mendapat peluang tersebut.

Najib menyifatkan perjumpaan beliau dengan Obama sebagai petanda jelas
tentang wujudnya sikap baru Washington terhadap Malaysia.

Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Jamaludin Jarjis, yang menyandang jawatan itu sejak Julai tahun lalu, teringat kembali kata-kata Obama dalam ucapannya di Universiti Kaherah, Mesir bulan lalu bahawa beliau ingin membuka lembaran baru dalam hubungan antara Amerika dan umat Islam di seluruh dunia.

Huluran tangan persahabatan yang dibuat Obama ketika wujudnya ketegangan
antara negara kuasa besar dunia itu dan dunia Islam serta selepas berlakunya
serangan pengganas 9/11, adalah satu penyimpangan ketara daripada pendirian
atau kata dua Amerika sebelum ini iaitu "sama ada anda bersama kami atau
menentang kami" yang menjadi pegangan presiden George W Bush dalam
perjuangannya untuk menentang pengganas.

"Bukan menjadi kelaziman bagi Amerika untuk memilih mengadakan perbincangan dengan negara lain di dunia. Tapi kini, di bawah Presiden Obama, saya percaya Amerika telah memulihkan kedudukannya daripada segi moral sebagai pemimpin dunia," kata Najib kepada hadirin dalam satu majlis anjuran Asia Society di New York.

Penerimaan baik Washington terhadap Najib juga dapat dilihat melalui
penyertaan beliau pada jamuan tengah hari yang diadakan oleh Naib Presiden, Joe
Biden bagi kumpulan terpilih daripada para pemimpin yang menghadiri sidang
kemuncak itu di kediamannya dan kunjungan Najib ke Capitol Hill untuk menikmati
jamuan tengah hari bersama Howard Berman, pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar
Amerika dan mesyuarat yang beliau adakan dengan beberapa senator.

Pada sidang kemuncak berkenaan, Najib menyuarakan sokongan Malaysia terhadap usaha untuk mewujudkan dunia yang bebas daripada senjata nuklear dan
mencadangkan penubuhan konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang
keselamatan nuklear bagi mendapatkan komitmen negara yang menganggotai dan tidak
menganggotai Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT).

Semasa lawatan seminggu itu juga, Perdana Menteri menyatakan bahawa Malaysia akan membantu usaha membangunkan semula Afghanistan yang dilanda peperangan dan menegaskan bahawa Malaysia tidak akan membabitkan diri dalam sebarang pertempuran, kecuali untuk membangunkan semula masyarakat, kemudahan perubatan dan keupayaan rakyat Afghanistan.

Setiausaha Perbendaharaan, Tim Geithner dan Wakil Perdagangan Amerika, Ron Kirk pula mengunjungi Najib di hotel penginapan beliau bagi mengadakan
perbincangan tentang program Perkongsian Trans Pasifik yang dicadangkan
Washington dan untuk mendengar penjelasan tentang MEB.

Perdana Menteri juga mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemimpin korporat terkemuka Amerika yang membayangkan hasrat mereka untuk meningkatkan jumlah pelaburan di Malaysia serta perubahan perspektif mereka terhadap Malaysia kerana tertarik dengan matlamat utama MEB iaitu untuk membuat perubahan radikal terhadap persekitaran perniagaan Malaysia ke arah menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi. - Bernama

0 comments: