Followers

Saturday, April 17, 2010

Rais dahului berita terbaru Najib-Obama bersalaman

NEW YORK: Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Barack Obama menamatkan mesyuarat dua hala pertama mereka di Washington minggu ini, delegasi Malaysia telah bersiap sedia untuk meninggalkan tempat itu.

Pemangku Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang juga Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, dan dua kali menjadi menteri luar sebelum ini, mengiringi Najib bagi pertemuan bersejarah yang berlangsung selama 40 minit.

"Saya ternampak Presiden Obama memberi isyarat kepada Perdana Menteri sekali lagi. Saya fikir ini satu detik keemasan, kamu tahu cara beliau menepuk Perdana Menteri di belakang, tapi pada masa itu tiada jurugambar," Rais memberitahu Bernama.




Nasib baik, Rais, seorang peminat fotografi, sentiasa membawa sebuah kamera bersama beliau.




"Saya kata ''Mr President'', boleh tak kamu tunggu sekejap dan beliau berkata: ''ya, sudah tentu'' dan apabila beliau melihat kamera saya, beliau bersalaman dengan Perdana Menteri dan saya merakamkan gambar mereka berdua yang kelihatan berseri-seri," kata Rais.




Selepas itu, penasihat media kepada Najib Datuk Jalaludin Bahaudin mengambil peluang itu dan meminta Obama untuk menandatangan buku hasil karangannya, "Audacity of Hope", dan Rais terus merakamkan gambar mereka berdua.




"Hanya satu perkara saya terlupa, apabila saya keluar dari pintu itu, saya sedar saya tidak mempunyai gambar yang diambil dengan Presiden Amerika Syarikat itu," kata Rais sambil tertawa mengingatkan peristiwa itu.

Rais menghasilkan bukunya bertajuk "Cabinet Governing in Malaysia" pada 2006 dan edisi keduanya akan dikeluarkan tidak lama lagi. Beliau bercadang untuk menyimpan gambar Najib-Obama untuk edisi berikutnya.




Beliau juga memberikan sekeping salinan gambar itu kepada Najib dengan mesej ''Kepada Datuk Sri PM, ini saat-saat bersejarah kepada anda dan begitu juga dengan kami di Malaysia'' dan kepada Bernama yang mengeluarkan gambar itu kepada media Malaysia yang lain.




Media Malaysia dibenarkan masuk hanya buat beberapa ketika sebelum mesyuarat dua hala itu bermula dan diberikan masa kurang daripada seminit semasa berada di dalam sebelum diminta beredar. - Bernama

0 comments: