Followers

Tuesday, April 13, 2010

Najib yakin hubungan KL-Washington lebih positif

WASHINGTON: Malaysia melihat hubungan dua hala dengan Amerika Syarikat (AS) akan menjadi lebih positif, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak susulan pertemuan sulung beliau dengan Presiden Barack Obama, di sini, hari ini.

Katanya, kedua-dua negara berada pada permulaan baru yang boleh menyumbang kepada kesejahteraan dan keamanan serantau.
Bercakap kepada wartawan Malaysia, Najib berkata, Obama menyatakan beliau puas hati dengan hubungan dua hala itu dan beliau juga melihat perkembangan yang sangat positif di Malaysia.
Beliau berkata, kesediaan Obama untuk mendengar dan membabitkan negara Islam serta tidak mengambil pendekatan bermusuhan dengan dunia Islam berbeza dengan rejim Bush sebelumnya.

"Saya rasa perubahan oleh pentadbiran baru ini amat memberangsangkan dan saya harap ia bukan sekadar pada corak dan pendekatan tetapi juga pada isinya," kata Perdana Menteri yang mengadakan perbincangan dengan Obama sebelum bermulanya Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear yang bermula di sini, hari ini.

Najib adalah antara 46 pemimpin dunia termasuk kuasa-kuasa nuklear dan negara-negara maju selain yang sedang membangun, yang dijemput oleh Obama ke sidang kemuncak itu untuk mencari jalan bagi menghalang bahan nuklear jatuh ke tangan kumpulan pengganas.

Obama mengadakan pertemuan dua hala dengan sembilan pemimpin dan Najib dan Presiden Hu Jintao dari China yang juga adalah dua pemimpin Asia yang diberi penghormatan itu.
"Ini satu pengiktirafan kepada kita dan menggambarkan Malaysia bukan saja nasional tetapi sebuah negara komuniti global yang mana kedudukan perhubungan kita boleh membantu dunia menjadi lebih aman dan stabil," katanya yang turut diundang ke jamuan makan tengah hari bersama Naib Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.

Perbincangan Najib dengan pemimpin-pemimpin Amerika itu berkisar pada langkah-langkah untuk menjadikan dunia bebas daripada senjata nuklear.

Obama berharap Malaysia dapat memainkan peranan dalam menyekat senjata nuklear khususnya berhubung Iran.

"Presiden Obama sedar kita ada hubungan rapat dengan Iran. Saya beritahu kepada Presiden Obama dasar kita dalam hal ini adalah jelas.

"Iran ada hak menggunakan kuasa nuklear untuk tujuan penjanaan kuasa elektrik atau untuk tujuan baik saja dan kita tidak sokong Iran bangunkan senjata nuklear" kata Perdana Menteri.

Najib berharap Iran dapat memenuhi tanggungjawab untuk bersama komuniti global untuk tidak mencari kesempatan mengembangkan kemampuan nuklearnya yang boleh membawa kepada konfrontasi dan tidak kestabilan.

Pada pertemuan itu, Obama juga mengucapkan tahniah kepada Malaysia kerana meluluskan Rang Undang-undang Perdagangan Strategik di Dewan Rakyat baru-baru ini bagi membanteras penyeludupan bahan bagi mengeluarkan senjata nuklear yang boleh menyebabkan kehancuran meluas.

Najib berkata, ia membuktikan Malaysia sudah mengambil tindakan yang amat bermakna untuk mencegah sebarang bahan senjata api digunakan oleh sesetengah kumpulan.

Perdana Menteri juga memberitahu Obama tentang usaha Malaysia membantu dalam pembinaan semula Afghanistan. - Bernam

0 comments: