Followers

Sunday, March 14, 2010

ABPBH2009: Pelajar UiTM juara Bintang Idola Berita Harian 2009

NABILAH bergambar bersama pemenang kedua Mohd Nor Safarin Mansor  (kiri) dan  ketiga, Megat Amirul Khairi Megat Amran   selepas diumumkan  menjuarai BIBH, semalam.
NABILAH bergambar bersama pemenang kedua Mohd Nor Safarin Mansor (kiri) dan ketiga, Megat Amirul Khairi Megat Amran selepas diumumkan menjuarai BIBH, semalam.
KEMAMAN: Pengorbanan memandu lebih dua jam ditemani kedua ibu bapa, terbukti memberi tuah kepada Nabilah Mohammad, 21, apabila diumumkan juara Bintang Idola Berita Harian (BIBH) 2009 di Mesra Mall, Kemasek, di sini, semalam.

Menafikan kekuatan sembilan finalis lain, gadis yang berasal dari Kuala Terengganu yang membawakan lagu Jerat Percintaan nyanyian Datuk Siti Nurhaliza Tarudin terpilih mewakili Zon Timur pada kemuncak BIBH 2009 di Klang Parade, Klang, Selangor pada 28 Mac ini.

Penuntut tahun akhir Diploma Pengurusan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pulau Pinang itu menerima wang tunai RM1,000; barangan kemas Habib Jewels bernilai RM10,000 serta hamper dari Mesra Mall. Mengulas kemenangannya, Nabilah berterima kasih kepada Berita Harian kerana menyediakan ruang kepada bakat baru sepertinya menyerlahkan kemampuan diri.

Nabilah yang pernah menjuarai beberapa pertandingan lain turut berharap, BIBH 2009 membuka ruang kepadanya untuk merealisasikan impiannya menjadi penyanyi rakaman.

“Ini kejayaan terbesar pernah saya capai dan berharap dapat membuka pintu untuk melangkah dalam dunia hiburan. Saya meletakkan harapan tinggi dan Alhamdulillah, juri memandang kemampuan saya,” katanya.

BIBH 2009 diadakan sempena siri promosi jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 menyaksikan peserta diadili juri profesional terdiri daripada penyanyi popular, Hattan dan Hazami diketuai Pengarang sisipan Bintang Popular, Akmal Abdullah.

0 comments: