Followers

Thursday, March 11, 2010

Mesyuarat JCM mengenai maklumat, komunikasi Malaysia-Indonesia Mei ini

JAKARTA: Malaysia dan Indonesia akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama (JCM) mengenai maklumat dan komunikasi pada Mei ini di Kuala Lumpur bagi membincangkan usaha meningkatkan hubungan dua hala dalam bidang itu.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata mesyuarat itu yang akan diadakan pada minggu pertama Mei juga bertujuan mempereratkan lagi hubungan persahabatan peringkat rakyat kedua-dua negara.

Beliau berkata topik yang akan dibincangkan adalah pelbagai berikutan banyak kerjasama telah dijalin hasil hubungan dua hala yang telah memakan masa puluhan tahun.

"Topik akan dibincangkan memang pelbagai...selain daripada budaya, ialah informasi, dan bagaimana persahabatan kita menerusi masyarakat dan masyarakat dapat kita eratkan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia Tifatul Sembiring di pejabat menteri itu di sini hari ini.

JCM Malaysia-Indonesia mengenai Maklumat dan Komunikasi telah diwujudkan sejak 1984 dan dihoskan secara bergilir setiap tahun. Dr Rais yang secara rasmi mengundang Tifatul ke mesyuarat itu hari ini berkata mesyuarat itu mungkin juga akan membincangkan hal-hal kerjasama menerusi radio dan TV yang praktikal untuk dilaksanakan.

Menteri itu berkata Tifatul juga mungkin akan diwawancara di TV di Malaysia bagi membolehkan rakyat Malaysia mengetahui dengan lebih menyeluruh mengenai usaha Indonesia dalam mengeratkan lagi persahabatan kedua-dua negara menerusi bidang maklumat dan komunikasi.

Sementara itu, Tifatul berkata hubungan Malaysia-Indonesia adalah hubungan sejarah bangsa serumpun yang sudah lama dan hubungan itu tidak seharusnya terputus semata-mata kerana diganggu isu-isu kecil yang menyebabkan rakyat kedua-dua negara salah faham.

"Datuk Rais seleranya tak berbeza dengan kita, bila kita hidangkan masakan minang, ia sesuai dengan seleranya.

"Ini menunjukkan bahawa akar budaya kita, akar rasa kita sama. Kesamaan ini tentu akan dimanfaatkan dengan program saling kunjung mengunjung, lawat-melawat antara satu sama lain," katanya sambil menambah bahawa lawatan itu boleh juga diperluaskan di peringkat delegasi. Tifatul yang turut mencadangkan supaya usaha merapatkan hubungan itu diperluaskan melalui sastera seperti pertandingan berbalas pantun, berkata jika Indonesia dan Malaysia jarang atau tidak pernah berkomunikasi, salah faham mungkin akan timbul di mana hal-hal kecil seolah-olah menjadi besar.

Ditanya sama ada isu-isu kecil antara Indonesia dan Malaysia yang berlaku selama ini boleh dianggap selesai, Menteri Komunikasi dan Informatika itu berkata ia boleh diselesaikan secara berperingkat-peringkat dan menjadi lebih mudah dengan adanya banyak program kunjung mengunjung di kedua-dua belah pihak.

Tifatul juga berpendapat pertukaran maklumat melalui siaran berita seperti Warta Serumpun, yang dilaksanakan sebelum ini wajar diteruskan bagi membolehkan rakyat kedua-dua negara mendapat gambaran sebenar, lebih-lebih lagi dengan amalan demokrasi yang berbeza di Indonesia selepas era reformasi, di mana rakyatnya bebas bercakap apa sahaja sehingga ke tahap boleh menjejaskan hubungan antara negara. - Bernama

0 comments: