Followers

Wednesday, March 3, 2010

Manila, MILF sambung rundingan damai di Malaysia

KUALA LUMPUR: Pengerusi Panel Rundingan Damai Kerajaan Filipina, Rafael Seguis, dijadual tiba di sini malam ini untuk menghadiri rundingan damai dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) esok.

Menurut sumber Kedutaan Filipina di sini berdasarkan maklumat yang diperoleh dari Manila, Seguis yang juga Timbalan Menteri Luar Filipina akan mengetuai rombongan kira-kira 10 anggota bagi menyambung semula rundingan damai, dengan Malaysia sebagai tuan rumah.

"Hakikat bahawa penal rundingan damai kerajaan berada di sini... kami menganggap MILF juga akan menyertai rundingan ini. MILF tidak memaklumkan kepada kami bila mereka akan datang ke sini," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Beliau, bagaimanapun, berkata kedutaan tidak mengetahui di mana mesyuarat itu akan diadakan kerana kedua-dua belah pihak iaitu panel rundingan damai kerajaan dan MILF seperti masa lalu, lebih cenderung menyimpan maklumat mengenainya.

Tiada sebarang butiran lanjut mengenai mesyuarat itu termasuk berapa lama ia akan diadakan.

"Kami hanya dimaklumkan bahawa mereka (panel rundingan damai) akan tiba hari ini... tiada maklumat lain diberikan," katanya.

Bagi tempoh 12 tahun lalu, Kerajaan Filipina dan MILF telah beberapa kali mengadakan rundingan damai untuk menamatkan konflik di selatan Filipina yang telah berlarutan selama empat dekad.

Rundingan damai itu diaturkan oleh Malaysia sejak 2001, bertujuan menamatkan pemberontakan penduduk Islam selama empat dekad yang telah meragut 120,000 nyawa.

Pada 17 Februari, MILF mengumumkan bahawa cadangan Manila semasa rundingan di Malaysia pada Januari "tidak dapat diterima" dan menjadikan perjanjian damai untuk dicapai semasa pemerintahan Presiden Gloria Macapagal Arroyo adalah sukar.

Arroyo akan menamatkan perkhidmatannya pada 30 Jun ini.

Malaysia juga adalah Ketua Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) di Mindanao.

IMT memainkan peranan penting bagi menyokong rundingan damai antara Kerajaan Filipina dan MILF serta dalam meneruskan momentum bagi mencapai resolusi konflik di Mindanao. - Bernama

0 comments: