Followers

Tuesday, March 2, 2010

Gempa di Chile: 5,000 askar tambahan dikerah jaga keamanan

CONCEPCION: Penduduk yang marah dan kelaparan berikutan kemusnahan akibat gempa bumi kuat di Chile, Sabtu lalu mencetuskan keadaan huru-hara sehingga kedai dibakar serta berleluasanya kegiatan mencuri.

Ini menyebabkan Presiden Michelle Bachelet terpaksa mengerahkan lebih 5,000 askar tambahan untuk mengawal keadaan di kawasan bencana.

Di tengah bandar raya ini kelihatan api marak serta asap tebal dengan pasukan penyelamat terus bertungkus-lumus mencari mangsa yang mungkin terselamat di celah sisa runtuhan.

Setakat hari ini, gempa berukuran 8.8 magnitud yang turut membawa tsunami itu sudah mengorbankan 723 orang.

Kawasan paling terjejas ialah di pesisir pantai selatan negara dan perkampungan nelayan termasuk di Concepcion - kawasan bandar paling teruk musnah.

Menteri Dalam Negeri, Patricio Rosende, berkata seorang ditembak mati oleh pasukan keselamatan terdiri polis dan askar kerana mengganas serta mencuri dengan lebih 160 lagi ditahan.

"Kami memantau keadaan terkini dengan mendapat bantuan tentera ditempatkan di Biobio dan Maule.

"Sehingga esok (hari ini) lebih 7,000 tentera sudah dikerah ke sana," katanya. - AFP

0 comments: