Followers

Friday, February 26, 2010

RM2.4 juta biayai pembelian tong ikan berinsulasi

PELABUHAN KLANG: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan RM2.4 juta bagi membiayai pembelian tong ikan berinsulasi (TIB) yang akan dikuatkuasakan penggunaannya menjelang Mei ini, kata Menterinya, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, kerajaan prihatin dengan keluhan pemborong dan pengimport ikan yang mendakwa harga TIB yang ditawarkan oleh empat pembekal yang dilantik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) adalah tinggi iaitu RM205 bagi tong saiz 100kg dan RM120 bagi 50kg.

"Kalau hari ini ada empat kilang dilantik...lepas ini mereka bebas beli tong TIB dari mana-mana kilang yang boleh jual murah dengan syarat (TIB) ini memenuhi syarat yang ditetapkan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Noh berkata, kerajaan sentiasa prihatin dengan permintaan peniaga ikan dan menegaskan kerajaan bagaimanapun tidak akan berkompromi lagi mengenai penguatkuasaan penggunaan TIB pada Mei ini yang telah tertangguh sejak 2006.

Katanya, TIB dikenal pasti selamat untuk menyimpan bahan makanan serta dapat menjamin kesegaran, kebersihan, bebas pencemaran bahan kimia selain dapat mengenal pasti pemilik TIB melalui cip yang dipasang pada TIB serta dapat mengelakkan penyeludupan.

Beliau berkata, sejak pengumuman mengenai penguatkuasaan penggunaan TIB dibuat pada September 2009, kementerian telah memberi insentif seperti ikan import yang didaratkan di jeti LKIM yang dimuatkan dalam TIB hanya perlu membayar caj pendaratan sebanyak tiga sen sekilogram berbanding lima sen sekilogram.

Mengenai ura-ura ada peniaga ikan mahu menaikkan harga ikan berikutan perlu menampung harga TIB yang mahal, Noh berkata kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah mereka dan mereka tidak sepatutnya mengugut kerajaan.

"Yang peliknya apabila kerajaan perkenalkan peraturan baru, mereka yang tidak bertanggungjawab ini akan mengugut kerajaan dan tidak menghormati peraturan tetapi apabila mereka pergi ke negara lain, mereka faham dan menghormati undang-undang negara lain," katanya.

Difahamkan mereka yang liat untuk menggunakan TIB ini ialah lebih 20 pengimport Malaysia yang membawa masuk ikan dari Indonesia.

Mengenai kenyataan Exco Pertanian Selangor Yaakob Sapari semalam mempertikaikan tindakan Kerajaan Persekutuan memberhentikan peruntukan program jaminan makanan bagi meningkatkan hasil pertanian, Noh berkata kerajaan negeri Selangor yang diterajui pembangkang perlu memberhentikan mainan politik yang kebudak-budakan seperti itu.

Katanya, Kerajaan Persekutuan memberi bantuan kepada pesawah di Selangor daripada segi penyediaan tanah, kapor, baja dan biji benih. - Bernama

0 comments: