Followers

Thursday, February 25, 2010

Keganasan biologi adalah ancaman sebenar: Interpol

NEW DELHI: Interpol memberi peringatan bahawa keganasan biologi adalah ancaman sebenar yang tidak boleh diketepikan dan menggesa semua kerajaan untuk memasukkannya di dalam strategi menangani keganasan di negara masing-masing.

Sebenarnya, agensi polis di peringkat global sudah mengambil langkah proaktif dengan melatih pegawai dari Asia dan Pasifik Selatan bagi menyediakan mereka menangkis sebarang serangan keganasan biologi.

"Kumpulan pengganas bercakap mengenai usaha membangunkan keupayaan penggunaan senjata biologi. Ada bukti mengenai kumpulan pengganas individu menguji dan menggunakan senjata biologi, dan peningkatan kemajuan sains biologi menyediakan pelbagai peluang bagi orang sedemikian," kata pengerusi jawatankuasa kumpulan pemandu keganasan biologi Interpol, John Abbot.

Menurut laman web Interpol, kira-kira 16 negara dari dua rantau menghadiri program "Melatih pelatih" di Wellington, New Zealand minggu lalu, bagi membiasakan diri dengan keselamatan biologi.

Terbaru dalam keganasan biologi ialah serangan antraks di mana lima rakyat Amerika terbunuh dan hampir 17 orang jatuh sakit di Amerika Syarikat pada 2001.

Insiden lain ialah pada 1995 apabila kumpulan ajaran sesat Aum Shinrikyo di Jepun menggunakan gas Sarin bagi melancarkan serangan ke atas orang awam di stesen kereta api bawah tanah di Tokyo yang mengorbankan 12 orang.

Keganasan biologi wujud dalam bentuk pelepasan ejen biologikal seperti bakteria, toksin atau virus yang boleh memberi kesan kepada kesihatan manusia.

"Pencegahan program keganasan biologi ialah mengenai menyokong dan membantu negara-negara agar lebih bersedia bagi mencegah keganasan biologi, untuk membangunkan pelan nasional masing-masing," katanya. - Bernama

0 comments: