Followers

Wednesday, February 24, 2010

Warga Saudi dituduh biayai kegiatan pengeboman di Indonesia

JAKARTA: Seorang warga Arab Saudi dihadapkan ke mahkamah di sini, hari ini atas tuduhan membiayai pengeboman beberapa hotel mewah di kota raya Jakarta, tahun lalu yang mengorbankan tujuh orang.

Al Khelaiw Ali Abdullah, 54, dituduh memberi 'bantuan dan kemudahan' kepada anggota kumpulan pengganas dengan meminjamkan wang, barangan dan bantuan lain.

Pendakwaan yang diketuai Totok Bambang akan membentangkan bukti bahawa Al Khelaiw terbabit secara langsung dalam kejadian pengeboman itu.

Beliau diberkas sebaik sahaja kejadian pengeboman hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton pada 17 Julai tahun lalu.

Pengganas yang mengetuai kejadian itu, Noordin Mohammed Top, yang terbunuh dalam serangan hendap polis September lalu, memberitahu salah seorang pengebom berani mati itu supaya bersedia untuk mati sebaik menerima wang yang dihantar dari Asia Barat itu.

Al Khelaiw bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya tuduhan terhadapnya dengan mendakwa, beliau sebenarnya mahu terbabit dalam perniagaan internet di Indonesia dan tiada niat untuk membiayai aktiviti pengganas.

"Saya bukan pengganas dan saya tidak mengenali sesiapa yang terbabit dengan pengganas.

"Saya datang ke Indonesia untuk berehat dan berhasrat memulakan perniagaan komputer," katanya. - AFP

0 comments: