Followers

Tuesday, February 23, 2010

6,000 HAKTER KAWASAN HUTAN TERBAKAR

1902_front_a
TERBAKAR ... gambar diambil dari udara menunjukkan kawasan padang ragut Nukahan sedang terbakar.
BEAUFORT: Lebih 6,000 hakter tanah milik penduduk dan kawasan padang ragut (grazzing reseve) di Nukahan dekat Kuala Penyu dan Kampung Luagan berdekatan Hutan Simpan Klias di sini musnah dalam kebakaran sejak seminggu lalu.

Cuaca panas yang berlaku di kedua-dua kawasan itu telah memusnahkan 5,000 hakter di Nukahan manakala 1,000 hakter lagi di Kampung Luagan.

Wakil Rakyat Lumadan, Kamarlin Haji Ombi yang membuat tinjauan dari udara bersama kaki- tangan Jabatan Perhutanan dengan menggunakan helikopter berkata, kebakaran juga di lihat bertompok-tompok di kebanyakan kawasan lain.

Bagaimanapun katanya, jumlahnya tidaklah luas tetapi kebakaran itu adalah penyumbang kepada keadaan jerebu masa kini yang melanda daerah ini sejak dua minggu lalu.

Beliau berkata, usaha memadam kebakaran tanah milik penduduk di Luagan dalam daerah Beaufort, sedang dilakukan oleh Jabatan Bomba bersama Jabatan Perhutanan dari terus merebak ke kawasan Hutan Simpan Klias yang mempunyai keluasan kawasan 3,360 hektar yang merupakan Hutan Simpan Kelas Satu.

“Dari siasatan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Perhutanan mendapati kebakaran ini dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka yang dilakukan oleh petani menyebabkan kebakaran tidak dapat dikawal lalu merebak ke kawasan orang lain,” katanya.

Beliau yang kesal dengan sikap ini berkata, tindakan para petani yang mengambil jalan mudah untuk membersihkan kawasan tanah mereka menyebabkan beribu-ribu hakter kawasan hutan ini terbakar.

“Perbuatan mereka ini juga menyebabkan beratus-ratus ekar tanah pertanian seperti ladang getah, ladang kelapa sawit dan nenas terbakar,” katanya.

Pada masa yang sama Kamarlin meminta Jabatan Air melakukan pencatuan bekalan air jika perlu untuk memastikan semua pengguna mendapat bekalan air.

“Saya minta Jabatan Air bersedia menghantar bantuan bekalan air ke kawasan-kawasan yang terjejas untuk meringankan bebanan rakyat,” katanya.

Sementara itu seorang jurucakap Jabatan Hutan yang terlibat dalam tinjauan udara itu berkata, kebakaran juga sedang berlaku di kawasan Hutan Simpan Binsulok yang mempunyai keluasan 12 ribu hektar dan setakat ini kira-kira 100 hektar telah terbakar.

Hutan Simpan Binsulok juga adalah merupakan Hutan Simpan Kelas Satu (1), dan Jabatan Perhutanan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang mengawal kebakaran daripada merebak lebih jauh ke dalam hutan simpan itu.

Mengenai kebakaran di Kg Luagan, beliau berkata, ianya belum memasuki kawasan hutan simpan Klias.

“Jabatan Perhutanan dengan 80 kekuatan kakitangannya sedang menjalankan operasi me- madamkan kebakaran dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat di kedua-dua daerah ini,” katanya.

Sementara itu Penguasa Zon Beaufort Jabatan Bomba dan Penyelamat Alexander Jalinon berkata kebakaran sedang berlaku di Nukahan Kuala Penyu seluas 5,000 daripada 10,000 hakter juga merupakan kawasan padang ragut.

Beliau berkata operasi memadamkan kebakaran sedang dijalankan dan keadaan ini masih terkawal dan berharap ianya akan dapat dipadamkan dalam tempoh terdekat.

0 comments: