Followers

Tuesday, February 9, 2010

Malaysia perlu transformasi ekonomi utama

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu melaksanakan transformasi utama dalam ekonomi, walaupun ia membabitkan kos jangka pendek atau menghadapi gangguan awal, bagi mencapai status negara maju pada 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata Malaysia memerlukan transformasi itu kerana negara tidak mampu tersekat di tengah-tengah, sebagai negara berpendapatan sederhana, sekalipun negara berpendapatan pertengahan tinggi.

"Bagi memperoleh status negara maju, model ekonomi kita perlu beralih ke arah menjadi negara berintensifkan pengetahuan dan dipacu inovasi," katanya pada hari kedua Persidangan Ekonomi 1Malaysia di sini hari ini

Persidangan itu dianjurkan oleh Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM).

Nor Mohamed menjelaskan transformasi ekonomi membabitkan perubahan yang ketara.

Beliau berkata, usaha untuk menyesuaikan model ekonomi negara memerlukan pelaburan, yang mungkin tidak mendapat hasil serta-merta, namun memberi pulangan yang baik dalam jangka panjang.

"Dalam melaksanakan transformasi ekonomi, kita memerlukan komitmen untuk menjayakannya di peringkat awal dan terus kekal untuk kemajuan jangka panjang," katanya. - Bernama

0 comments: