Followers

Sunday, February 7, 2010

Rangka manusia zaman Mesolitik ditemui di Gua Bewah

HULU TERENGGANU: Sekumpulan arkeologis dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Muzium Negara dan Lembaga Muzium Negeri Terengganu, yang menjalankan kerja ekskavasi di Gua Bewah, Tasik Kenyir, sejak tiga bulan lalu, menemui rangka manusia yang dipercayai dari zaman Mesolitik.

Timbalan Pengarah Institut Tamadun dan Alam Melayu (Atma), UKM, Prof Datuk Dr Nik Hasan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, berkata rangka manusia zaman Mesolitik yang dipercayai remaja itu dianggar berusia 8,000 hingga 11,000 tahun.

"Rangka pra sejarah itu ditemui pada kedalaman 65 sentimeter (sm) hingga 70 sm yang disemadikan dalam keadaan merengkok dan kita telah menghantar sampel DNA (asid deoksiribonukleik) ke Amerika Syarikat untuk dianalisis.

"Keputusannya dijangka diketahui selewat-lewatnya bulan depan," katanya kepada pemberita selepas Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, dan media melawat ke gua berkenaan di sini hari ini.

Nik Hasan Shuhaimi berkata, penemuan rangka manusia pra sejarah ini adalah kali kedua di Tasik Kenyir selepas kali pertama ditemui di Gua Batu Tok Bidan, Tasik Kenyit pada 1975.

Beliau yang mengetuai kerja ekskavasi bersama Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Mohd Yusof Abdullah, dan 33 anggota cari gali lain berkata ia adalah penemuan penting sejarah ketamadunan manusia di Malaysia.

"Selain rangka manusia turut dijumpai di gua berkenaan adalah serpihan tembikar tanah yang dipercayai dari zaman Neolitik.

"Di antara serpihan tembikar itu terdapat serpihan yang tertulis corak seakan-akan tulisan lukisan batu yang pernah ditemui oleh pengkaji di tapak cari gali zaman Neolitik yang lain di seluruh Malaysia," katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan negeri akan meneruskan usaha cari gali bagi mencari artifak bersejarah lain.

Katanya, artifak yang ditemui di Gua Bewah tidak akan ditempatkan di muzium, sebaliknya dikekalkan dan diletakkan dalam bingkai kaca untuk tatapan pengunjung.

"Kita tak bercadang untuk bawa pulang artifak yang ditemui dan kita akan kekalkan ia di sini dalam usaha kita menarik kedatangan pelancong ke negeri ini dan ke Tasik Kenyir," katanya.

Bagi meneruskan usaha cari gali artifak bersejarah di gua berkenaan, Ahmad berkata gua itu akan ditutup sementara mulai hari ini kepada orang ramai.

Mengenai cadangan untuk memajukan Tasik Kenyir dengan mewujudkan Pulau Burung, Pulau Rama-rama dan Taman Orkid bagi meningkatkan kedatangan pelancong, Ahmad berkata ketiga-tiga cadangan itu kini dalam proses pelaksanaan.

"Bagi Pulau Burung yang akan mempunyai lebih 40 spesis burung, kita menjangkakan ia akan dapat dibuka kepada orang ramai April ini. Ia kini berada di tahap 85 peratus pelaksanannya.

"Bagi Taman Orkid pula, buat masa ini kita tanam orkid liar dan dijangka dalam tempoh enam bulan kemudian, ia akan turut dibuka manakala Pulau Rama-rama kita akan laksanakan nanti. Semuanya kita laksanakan berperingkat," katanya. - Bernama

0 comments: