Followers

Wednesday, February 3, 2010

Tiada unsur jenayah dalam kematian Dr Cynthia

KUALA LUMPUR: Mahkamah Koroner di sini hari ini memutuskan bahawa kematian Dr Cynthia Joseph adalah sebagai nahas atau kemalangan, bukannya akibat perbuatan jenayah.

Koroner Tasnim Abu Bakar berkata, segala keterangan dan ekshibit yang dikemukakan dalam prosiding itu adalah terlalu jauh untuk mengaitkan kematian wanita itu dengan sebarang elemen jenayah.

"Semua saksi telah memberikan fakta bahawa mereka tidak nampak sebarang kecederaan dalaman atau pun luaran pada mayat Dr Cynthia," kata beliau dalam keputusan bertulisnya.

Katanya, fakta jumlah kuantiti dadah "midazolam" yang dijumpai pada hati dan buah pinggang si mati tidak dapat memberikan jawapan tepat sama ada Dr Cynthia telah mengambil sendiri atau telah diberi dadah secara berlebihan sehingga menyebabkan kematiannya.

Dr Cynthia, 42, meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai Cheras di sini pada 27 Sept, 2004 dan mayatnya telah digali semula pada 2 Disember, 2004 selepas keluarganya membuat laporan polis untuk mengetahui punca sebenar kematiannya.

Mayatnya digali semula oleh polis apabila keluarganya mengesyaki kematian doktor itu berpunca daripada perbuatan khianat.

Lapan saksi dipanggil memberikan keterangan, termasuk suami mendiang, Dr Retnarasa Annarasa, serta bapa mendiang, Joseph Sebastian.

Dalam keputusan hari ini, mahkamah juga tidak dapat memastikan bagaimanakah Dr Cynthia menemui ajalnya pada 27 September, 2004.

"Daripada keterangan saksi, mahkamah telah mengumpulkan fakta bahawa pada 25 September, 2004, Dr Cynthia telah pengsan dan dibawa oleh ambulans ke Pusat Perubatan Pantai, Cheras.

"Setibanya di sana, Dr Cynthia telah diberi rawatan kecemasan oleh saksi keenam, Dr Ravi Apparow yang kemudian mengesahkan si mati mengalami "hypoglyecemia" iaitu kandungan gula yang rendah dalam darah," kata Tasnim.

Katanya, pada 27 September, 2004, Dr Cynthia telah dijumpai jururawat dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tiada denyutan nadi.

"Usaha menyelamatkannya gagal dan saksi keenam mengesahkan sebab kematian Dr Cynthia sebagai cardiac arrest," kata Tasnim.

Bedah siasat secara lengkap juga tidak dapat dilakukan memandangkan keadaan mayat si mati, yang digali semula dua bulan selepas kematiannya, telah mereput, katanya lagi.

Sebastian, ketika ditemui di luar mahkamah berkata beliau menerima keputusan koroner hari ini kerana hanya ingin mendapatkan kebenaran dalam kematian anaknya. - Bernama

0 comments: