Followers

Friday, January 15, 2010

Pemilihan peserta PLKN ikut komposisi kaum

KUALA KANGSAR: Mulai tahun ini, pengambilan peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan berdasarkan kepada komposisi kaum selaras dengan konsep 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pemilihan secara rawak peserta PLKN telah dilupuskan dan Kumpulan 1 Siri 7/2010 telah ditetapkan mengikut komposisi kaum iaitu 60 peratus Bumiputera, Cina (28), India (10) dan dua peratus lain-lain kaum.

"Komposisi ini sengaja dibuat bagi menterjemahkan hasrat Perdana Menteri untuk melihat supaya konsep 1Malaysia dapat dicerminkan dalam pengambilan peserta PLKN.

"Ianya bagi mewujudkan interaksi yang mendalam dan dijadikan satu proses asimilasi sosial, agar terdapat komunikasi silang budaya antara peserta bagi memahami perbezaan antara mereka," katanya kepada pemberita selepas pelancaran 1Malaysia PLKN di Kem Desa Rimba, Chenderoh, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, dan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Ahmad Zahid berkata, PLKN yang masuk tahun ke tujuh semakin diterima masyarakat termasuk pihak pembangkang yang kini menerima hakikat bahawa PLKN adalah untuk menjadikan pesertanya sebagai warga yang baik dan bukannya sebagai pusat indoktrinasi politik.

"Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) sendiri mempunyai seorang cucu di PLKN Balik Pulau. Kalau cucunya cedera ataupun 'mentally disturbed', tentu dia akan bercakap dengan penuh kebisingan di Parlimen.

"Itu memperlihatkan bahawa pembangkang juga menerima bahawa PLKN ini bukan satu tempat untuk memprovokasikan minda ke arah kerajaan atau pun parti tertentu, tapi acuan untuk menjadikan individu yang keluar sebagai warganegara yang baik," katanya.

Sementara itu, Mohamed Nazri turut sependapat bahawa PLKN sekarang semakin diterima masyarakat berdasarkan jumlah soalan berkaitan PLKN yang semakin berkurangan di Parlimen dengan tiada soalan langsung dikemukakan pada sesi Parlimen lalu.

"Keduanya, perbahasan dalam bajet berkenaan dengan PLKN 'kurang panas'... tidak seperti dulu. Jadi saya rasa ini boleh kita baca sebagai bahawa sudah ada penerimaan terhadap PLKN oleh masyarakat," katanya. - Bernama

0 comments: