Followers

Thursday, January 14, 2010

Isu kalimah Allah tidak akan dibenar berulang: TPM

OXFORD: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau tidak akan membenarkan isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam berulang lagi pada masa depan.

"Kita tidak akan membenarkan sesiapa untuk memainkan isu ini (pada masa depan)," katanya ketika menjawab soalan daripada hadirin selepas menyampaikan syarahan bertajuk "Islam dan Cabaran Kritikal di Malaysia yang mempunyai Pelbagai Agama" di Oxford Centre for Islamic Studies (OCFIS) di sini.

Muhyiddin berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pernah menyebut bahawa proses perundangan bukan jalan penyelesaian terbaik bagi masalah itu dan mungkin ada cara lain.

"Saya setuju setakat peringkat tertentu, apa yang penting ialah untuk menangani keadaan. Beberapa perkara yang telah berlaku telahpun berlaku dan kita berharap ia tidak akan berulang lagi pada masa depan," katanya.

Muhyiddin berkata, beliau menerima sejumlah besar mesej daripada kawan bukan Islam di Sabah dan Sarawak yang menyatakan bahawa ada penganut Kristian yang berkata bahawa banyak pekara yang berlaku tidak akan berlaku pada awalnya "jika kita, penganut Kristian menyatakan tidak akan menggunakan kalimah Allah."

Katanya, ini adalah kerana di Malaysia dan banyak tempat lain di dunia dan di semua negara Islam, Allah adalah satu-satu Tuhan bagi orang Islam.

"Justeru, kita tidak boleh samakanNya dengan Tuhan dalam anutan lain ataupun di dalam Kristian kerana mereka mempunyai konsep Triniti yang berbeza."

"Ada banyak perbezaan, saya tidak mahu pergi lebih jauh di dalam isu ini. Saya fikir kita perlu menangani isu di tanah air dengan cara yang kita hadapi di tanah air kerana ada aspek-aspek tertentu dalam kehidupan, budaya, tradisi dan hormat menghormati antara satu sama lain dan kita gunakan itu kepada kekuatan kita.

"Saya fikir kita dapat menanganinya dan Insya-Allah perkara-perkara yang telah berlaku tidak akan berulang lagi," katanya.

OFCIS yang terletak kira-kira 100 kilometer dari London, ditubuhkan pada 1985 bagi menggalakkan pengajian Islam dan dunia Islam secara ilmiah. Putera Wales ialah penaung pusat ini.

0 comments: