Followers

Tuesday, January 12, 2010

Serangan gereja: Polis perlu siasatan lanjut sebelum buat tangkapan

PUTRAJAYA: Polis perlu membuat siasatan lanjut mengenai serangan terhadap beberapa gereja baru-baru ini sebelum melakukan sebarang tangkapan untuk memastikan mereka yang diberkas benar-benar melakukan perbuatan itu, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Katanya, polis juga perlu melihat senario lebih besar iaitu sama ada semua serangan itu adalah satu perbuatan konspirasi pihak-pihak yang mempunyai agenda tertentu ataupun adalah serangan berasingan.

"Daripada apa yang berlaku, nampaknya begitulah (kes berasingan). Adalah sesuatu yang membimbangkan sekiranya ia adalah tindakan yang dikoordinasi oleh kumpulan tapi kalau kes-kes ini kes berasingan, insyaAllah ia dapat dibendung," katanya selepas majlis perhimpunan bulanan dan perutusan tahun baru kementerian di sini, hari ini.

Semalam, beliau dilaporkan berkata, pihak polis sudah mempunyai petunjuk atau maklumat untuk mengenal pasti suspek tertentu yang bertanggungjawab terhadap kes serangan di Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati namun ia tidak boleh didedahkan kerana akan mengganggu siasatan yang sedang berjalan.

Hishammuddin berkata, sehingga pagi ini, tiada kejadian baru serangan rumah ibadat dikesan, namun pemantauan akan diteruskan.

Mengulas cadangan aktivis sosial, Dr Chandra Muzaffar, mengenai pembentukan Majlis Perundingan Keharmonian Nasional untuk membincangkan hal-hal sensitif antara agama, Hishammuddin berkata, beliau akan membincangkan perkara itu dengan Chandra.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, yang turut hadir, meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai serangan itu supaya tampil ke mana-mana balai polis untuk memberikan kenyataan.

"Setakat ini dalam Facebook, dalam blog, memang ada, tapi kita kena pastikan betul-betul.

"Kita perlu berhati-hati dengan maklumat ini (kerana) kita mahu memberkas orang yang betul-betul terbabit," katanya. - Bernama

0 comments: