Followers

Friday, January 8, 2010

Sabah & Sarawak: Dalang dikenal pasti


MOHD Suhaili menunjukkan sebahagian kawasan seluas 52 hektar di Felda Sahabat, dekat Lahad Datu yang akan dimajukan sebagai loji jana kuasa arang batu.

Hasut penduduk bantah projek loji jana kuasa arang batu di Felda Sahabat

LAHAD DATU: Awas! Ada 'dalang' cuba menghasut masyarakat terutama di daerah ini agar membantah cadangan projek loji jana kuasa arang batu bernilai kira-kira RM1.3 bilion di Felda Sahabat, Tungku, kira-kira 80 kilometer dari sini.

Mereka dikesan menghantar pihak tertentu masuk ke Tanah Rancangan Felda Sahabat dan beberapa kawasan terutama Kampung Sinakut di Tungku semata-mata untuk menghasut penduduk menentang projek berkenaan.

Tanpa memikirkan kepentingan projek itu untuk memastikan pengekalan sumber tenaga elektrik keseluruhan Pantai Timur Sabah yang membabitkan daerah ini, Sandakan, Semporna, Tawau dan Kalabakan, golongan berkenaan dipercayai mengupah pihak tertentu menghasut penduduk supaya memastikan projek berkenaan digagalkan.

Mendedahkan usaha pihak tidak bertanggungjawab itu kepada Berita Harian, di sini baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tungku, Datuk Mohd Suhaili Said, berkata akibat tindakan itu, ada masyarakat terpengaruh dengan hasutan berkenaan tanpa usul periksa.

"Memang ada pihak tertentu masuk ke kampung dan cuba menghasut rakyat menentang projek ini.

"Ada maklumat mengatakan mereka diupah pihak yang tidak senang dengan projek ini. Mereka menuduh saya dan pemimpin akar umbi masyarakat di sini menerima ‘habuan besar’ dalam projek ini.

"Satu sen pun saya tidak terima, bagaimanapun, saya dan barisan pemimpin masyarakat peringkat akar umbi tidak akan mudah mengalah. Kami akan menentang mereka habis-habisan kerana projek ini bukan untuk kami, sebaliknya untuk seluruh Pantai Timur Sabah," katanya.

Loji berkenaan pada mulanya dicadangkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dibina di Teluk Darvel dalam kawasan DUN Lahad Datu tetapi dibatalkan oleh kerajaan negeri pada 2 April 2009 dengan alasan lokasinya yang hampir dengan penempatan penduduk dibimbangi menjejaskan kesihatan masyarakat.

TNB kemudian mencadangkan loji berkenaan dibina di Sandakan tetapi sekali lagi terpaksa dipindahkan ke kawasan lain berikutan bantahan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar.

Loji itu mempunyai kapasiti maksimum 300 Megawat (MW)dan apabila beroperasi, dijangka meningkatkan dan menstabilkan grid negeri Sabah serta bekalan ke Pantai Timur.

Ketika ini, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) terpaksa membeli 81 MW tenaga daripada tiga Pengeluar Tenaga Persendirian (IPP), masing-masing Kota Kinabalu, Sandakan dan Labuan kerana hanya mampu menjana 687 MW tenaga berbanding permintaan semasa 657 MW.

Masalah mendapatkan lokasi sesuai itu diselesaikan apabila Datuk Seri Najib Razak mengumumkan loji berkenaan akan dibina di Felda Sahabat pada September lalu.

Untuk tujuan itu, pihak pengurusan Felda memperuntukkan ladangnya seluas kira-kira 52 hektar di kawasan berhampiran Kampung Sinakut sebagai tapak projek.

Mohd Suhaili berkata, beliau sedia berdialog dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terutama yang berkaitan pencinta alam sekitar mengenai projek berkenaan.

Ditanya sama ada hasutan pihak berkenaan ada kaitan dengan beberapa rumah penduduk Kampung Sinakut yang kira-kira 500 meter dari ladang kelapa sawit milik Felda yang dicadangkan sebagai tapak pembinaan loji itu, beliau berkata, ia akan diatasi dengan memindahkan mereka.

"Tanah itu milik kerajaan negeri tetapi Kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan kerajaan kejam yang tidak mempedulikan nasib rakyat apabila ingin memajukan projek pembangunan," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Merah/Sinakut, Raut Bani, 51, berkata beliau turut menjadi mangsa fitnah pihak tertentu kononnya menerima sogokan RM2 juta daripada pihak tertentu supaya memujuk penduduk kampung menerima projek loji itu.

"Saya tidak menerima wang daripada mana-mana pihak. Memang kami tidak faham dengan projek ini tetapi selepas Felda dan TNB memberi penjelasan, barulah kami faham," katanya.

"Selepas kami melawat loji di Klang dan Perak, kami yakin loji jana kuasa arang batu tidak menjejaskan kesihatan kami dan alam sekitar. Bagaimanapun, memang saya akui masih ada pihak tertentu di kampung itu yang masih bersikap berkecuali," katanya.

0 comments: