Followers

Sunday, September 19, 2010

Rakan Sosilawati mati tergantung

Kematian jutawan kosmetik beri tekanan

BUKIT MERTAJAM: Seorang rakan baik jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya yang dipercayai mati dibunuh bersama tiga yang lain baru-baru ini, ditemui mati tergantung dalam bilik tidur utama rumahnya di Taman Pauh Jaya, di sini semalam.
Mayat Sarina Jaafar, 45, yang juga pengasas Kosmetik Aveer, ditemui jam 8.30 pagi oleh saudaranya yang bergegas ke kediaman itu selepas menerima panggilan telefon daripada wanita berkenaan. Ketika kejadian, mangsa berseorangan di rumah.
Difahamkan, kejadian itu mempunyai kaitan dengan tekanan, malah kematian Sosilawati juga dikatakan mengganggu perasaan ahli perniagaan terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah (SPT), Superintendan Mohan Singh, berkata pihaknya menerima panggilan dari seorang wanita mengenai kejadian itu dan bergegas ke kediaman Sarina, tetapi mendapati mayat sudah diturunkan dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

“Laporan bedah siasat mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu, semalam.

Sarina yang mempunyai empat anak berusia 16 hingga 24 tahun hasil perkahwinan pertamanya adalah usahawan kosmetik berjaya di negeri ini. Selepas bercerai dengan suami pertama, Sarina bernikah kali kedua lima tahun lalu.
Anak sulung Allahyarham, Mohd Azrul Affendi Zakaria, 24, berkata beliau yang ketika itu berada di Kuala Lumpur hanya mengetahui mengenai kematian ibunya selepas dimaklumkan adik perempuannya lalu bergegas pulang dari ibu negara.

Beliau yang kali terakhir bertemu Allahyarham petang kelmarin, berkata ibunya mungkin letih bekerja dan mengalami tekanan.

“Kejadian yang membabitkan Datuk Sosilawati amat menyedihkan ibu saya berikutan mereka sangat rapat selepas berkawan lama dan sama-sama terbabit dalam perniagaan produk kecantikan,” katanya.

0 comments: