Followers

Sunday, September 19, 2010

Malaysia akan promosi golf wanita: Ng Yen Yen

LANGKAWI: Kerajaan akan mempromosikan golf untuk wanita sebagai sebahagian produk pelancongan yang dapat menarik lebih ramai pelawat asing ke Malaysia, kata Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.
Beliau berkata, ia kerana kedatangan pemain golf wanita ke negara ini dilihat dapat menyumbang pendapatan yang lebih kepada sektor pelancongan tempatan.
"Apabila wanita datang ke sini untuk bermain golf, mereka juga boleh pergi membeli-belah kerana negara ini juga dikenali sebagai destinasi popular untuk kegiatan itu.
"Kita juga boleh perkenalkan mereka kepada perkhidmatan spa kita. Mereka akan berbelanja lebih," katanya ketika berucap pada Majlis Santapan Gala bersempena kejohanan golf ''Kedah International Red Tee Invitation Langkawi 2010'' di sini, malam tadi.

Beliau berkata, sebelum ini, kerajaan lebih menumpukan kepada kedatangan kaum lelaki untuk bermain golf sedangkan sukan itu adalah produk pelancongan yang penting kepada negara.

Katanya, infrastruktur sukan golf Malaysia dengan hampir 170 padang juga adalah antara yang terbaik dan semakin mendapat perhatian peminat sukan tersebut sebagai destinasi tumpuan di rantau ini.

"Bulan depan ialah ''Bulan Juara-Juara'' untuk Malaysia kerana kita akan menjadi tuan rumah untuk tiga kejohanan bertaraf dunia yang melibatkan penyertaan pemain golf profesional terkenal dunia.
"Justeru saya mengambil peluang ini untuk mengajak peminat sukan golf supaya datang dan saksikan kesemua ketiga-tiga kejohanan tersebut," katanya.

Sementara itu, Sultanah Haminah muncul juara keseluruhan kejohanan, sementara tempat kedua dimenangi Nik Jah Mahmud dari Kedah, dan tempat ketiga diraih Thitapa Pakdeesettakul dari Thailand.

Kejohanan sulung itu yang berlangsung di Gunung Raya Golf Resort semalam disertai 56 pemain wanita amatur yang mewakili Malaysia, Thailand, Singapura dan Korea. - Bernama

0 comments:

There was an error in this gadget