Followers

Tuesday, April 6, 2010

Biasiswa prestij RM1.24b

1,500 lepasan SPM dapat tajaan ke luar negara

KERAJAAN memperuntukkan RM1.24 bilion tahun ini bagi menaja 1,500 pelajar yang melanjutkan pelajaran di bidang kritikal, termasuk perubatan, pergigian, farmasi dan kejuruteraan menerusi Program Ijazah Luar Negara (PILN).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata biasiswa melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu diperuntukkan kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata program itu bertujuan menyediakan biasiswa berprestij untuk pelajar lepasan SPM yang paling cemerlang dalam melahirkan modal insan berkualiti untuk menjamin kesinambungan keupayaan negara di masa akan datang.

"Fokus penajaan PILN 2010 adalah kepada bidang kritikal dan keutamaan yang diperlukan oleh negara pada masa depan.

“Pelajar yang berjaya akan mengikuti kursus di pusat persediaan dalam negara untuk tempoh tertentu bergantung kepada program yang diikuti sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang yang ditetapkan kerajaan.

"Pelajar dikehendaki sentiasa mencapai tahap kecemerlangan ketika peringkat persediaan bagi melayakkan mereka meneruskan pengajian di luar negara," katanya di sini, semalam.

Timbalan Perdana Menteri yang mewakili negara dalam Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) ke-184 bermula hari ini, berkata permohonan untuk menyertai program itu dibuka melalui laman web JPA mulai 11 Mac lalu.
Katanya, PILN ditawarkan mengikut empat kategori, iaitu populasi kaum (60 peratus), kecemerlangan akademik (20 peratus), Bumiputera Sabah dan Sarawak (10 peratus) serta golongan ‘socially disadvantaged’ (10 peratus).

Kriteria pemilihan calon bagi kategori populasi kaum adalah berdasarkan 75 peratus akademik, 10 peratus kokurikulum, 10 peratus sosio-ekonomi dan bakinya melalui temu duga, manakala kategori kecemerlangan akademik berdasarkan 85 peratus akademik, 10 peratus kokurikulum dan bakinya temu duga.

Kategori Bumiputera Sabah dan Sarawak serta socially disadvantaged pula berdasarkan 65 peratus akademik, lima peratus kokurikulum, 25 peratus sosio-ekonomi dan bakinya temu duga.

Bagi bidang perubatan, pergigian dan farmasi, tempat yang disediakan melalui PILN, termasuk di Australia, New Zealand, India, Republik Czech serta Poland dan program berkembar di Penang Medical College, Melaka Manipal College dan International Medical University, manakala kejuruteraan pula di Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat.

Muhyiddin berkata, JPA juga akan terus menaja pelajar cemerlang untuk melanjutkan pelajaran di dalam negara melalui Program Ijazah Dalam Negara (PIDN) pada peringkat Ijazah Pertama yang memberi fokus kepada bidang kritikal termasuk perubatan, pergigian, farmasi, sains perubatan veterinar, kejuruteraan, sains dan teknologi serta bidang sains sosial yang diperlukan oleh perkhidmatan awam dan negara.

Katanya, penajaan biasiswa melalui PIDN membabitkan 1,900 pelajar yang tidak berpeluang menyertai PILN berikutan persaingan yang terlalu sengit.

Beliau berkata, pelajar berkenaan diberi peluang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi tempatan (IPT) dan kampus cawangan University of Nottingham, Monash University, Swinburne University of Technology dan Curtin University of Technology.

Muhyiddin berkata, kerajaan tetap memberi penajaan biasiswa kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran di universiti tempatan bagi menyokong usaha memartabatkan IPT tempatan sebagai pusat kecemerlangan dalam penyelidikan dan pembelajaran.

"Selaras dengan hasrat itu sebanyak 100 penajaan disediakan kepada pelajar cemerlang lepasan SPM 2009 yang memilih mengikuti pengajian di empat universiti penyelidikan termasuk Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM).

"Mereka akan diberi kadar elaun sara hidup 50 peratus lebih tinggi daripada kadar Biasiswa Persekutuan sedia ada dalam negara," katanya.

Berikutan itu, kerajaan juga memperuntukkan perbelanjaan RM1.2 bilion bagi menaja pelajar melalui PIDN tahun ini.

Muhyiddin berkata, bagi biasiswa PILN JPA menerima 18,844 permohonan dan daripada jumlah itu 10,114 permohonan diterima dari kalangan calon yang melepasi gred minimum kelayakan

0 comments: