Followers

Thursday, February 18, 2010

Malaysia, Indonesia setuju tentukan sempadan perairan

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia akan menentukan perbatasan persempadanan perairan masing-masing berdasarkan "Rules Of Engagement" (ROE) bagi mengelak sebarang pertembungan dalam melakukan operasi rondaan oleh tentera laut masing-masing.

"Ini termasuk dalam menangani isu perairan Ambalat di perairan Laut Sulawesi yang menjadi tuntutan kedua-dua negara sejak 1960-an," kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam sidang akhbar bersama Menteri Pertahanan Indonesia, Prof Dr Ir Purnomo Yusgiantoro, di akhir Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am Malaysia-Indonesia kali ke-38 di sini hari ini, beliau berkata ROE menjadi satu elemen penting dalam mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara dan sebagai jalan penyelesaian terutama isu pertindihan perairan Ambalat.

"Perkara itu (ROE) telah dipersetujui dalam mesyuarat kali ini bagi mengelakkan pertembungan dalam melakukan operasi yang dilakukan oleh kedua-dua buah negara bagi menjamin keamanan kedua-dua pihak.

"Dengan kesepakatan bersama ini diharap akan dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul secepat mungkin," katanya.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, dan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Lt Jen Datuk Abdul Hadi Husin.

Antara wakil dari Indonesia yang hadir ialah dutanya ke Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar dan Panglima Tentera Nasional Indonesia, Djoko Santoso.

Isu Ambalat pernah menjadi bahan provokasi media Indonesia pada Jun tahun lalu apabila laporan berita dari Indonesia mendakwa kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mencerobohi kawasan perairan yang menjadi pertikaian antara Malaysia-Indonesia.

Menyentuh perkara itu, Prof Purnomo berkata walaupun isu Ambalat tidak dibincangkan secara khusus dalam mesyuarat kali ini kerana ia di bawah kuasa Kementerian Luar Negeri, namun ia turut disentuh terutama dalam membincangkan bidang kuasa ROE.

"Jadi untuk Malaysia dan Indonesia, kita ada komitmen ROE yang disepakati dan ROE ini akan dibuat oleh pihak masing-masing dan kemudian dari situlah nanti ianya akan dilaksanakan bersama-sama," katanya.

Mesyuarat itu juga membincangkan dan mempersetujui beberapa perkara antaranya bidang operasi dan bukan operasi.

Ahmad Zahid berkata, dalam bidang operasi, kedua-dua pihak merancang untuk menambah penempatan lima Pos Gabungan yang kini ditempatkan di Entikong, Kalimantan Barat dan Simanggaris di Kalimantan Timur manakala di Malaysia ia terletak di Biawak dan Lubuk Antu di Sarawak serta Seliku di Sabah.

Katanya, dalam kerjasama latihan, turut dipersetujui ialah latihan yang berkonsepkan operasi gabungan bersama dalam melawan keganasan, selain meluluskan rancangan pelaksanaan Eksesais Malaysia-Indonesia Latihan Gabungan Bersama Darat Samudera dan Angkasa.

"Eksesais dua hala itu akan diadakan setiap empat tahun sekali itu melibatkan ketiga-tiga perkhidmatan angkatan tentera bermula 25 Mac hingga 10 April di sekitar Melaka," katanya.

Dalam bidang kepolisan terutamanya dalam mengekang jenayah yang melangkaui sempadan, kedua-dua negara bersetuju bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Indonesia untuk terus menjalankan operasi bersama dan berkongsi maklumat dalam membenteras kegiatan haram.

Mesyuarat kali ini juga menerima kemasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sebagai anggota GBC yang baru. Mesyuarat GBC ke-39 akan diadakan di Indonesia pada awal tahun 2012. - Bernama

0 comments: