Followers

Saturday, February 13, 2010

Bali dilanda gempa bumi 6.6 pada skala Richter

JAKARTA: Penduduk dan pelancong di pulau peranginan Bali merasakan goncangan gempa bumi berukuran 6.6 pada skala Richter awal pagi ini.

Gempa yang berlaku pada 2.43 pagi waktu tempatan itu turut dirasai sebahagian penduduk di Jawa Timur dan Pulau Lombok yang berhampiran dengan Bali, namun ia tidak mengakibatkan sebarang kerosakan pada bangunan atau kemalangan jiwa.

Berdasarkan data daripada Badan Meteorologi dan Geofisika Indonesia, gempa bumi berkedalaman 10 kilometer itu berpusat di Launtan Hindi pada kedudukan 210 km ke Barat Daya Nusa Dua, Bali atau 212 km ke Barat Daya Kuta, Bali dan ia tidak berpotensi mengakibatkan ancaman tsunami.

Semasa kejadian, kebanyakan penduduk sedang nyenyak tidur.

Ketua Pusat Data dan Perhubungan Awam Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Priyadi Kardono berkata, secara relatif gempa itu adalah kecil.

"Meskipun ia dalam, penduduk hanya merasakan impaknya pada sekitar 2 hingga 3 MMI (Modified Mercalli Intensity) dan ia berlaku hanya beberapa saat," katanya.

Priyadi berkata, sungguhpun gempa itu cukup kuat untuk membangunkan penduduk daripada tidur, ia tidak mengganggu aktiviti harian mereka.

Katanya, badan itu akan terus memantau kejadian berkenaan daripada pelbagai sumber termasuk dari pihak polis tempatan.

Penduduk Bali tidak diberikan sebarang nasihat khusus berikutan kejadian itu kecuali diminta terus berwaspada terhadap gempa bumi tidak diduga. - Bernama

0 comments: