Followers

Wednesday, December 23, 2009

Orang ramai dinasihati dapatkan rawatan jika ada ILI

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang baru pulang daripada bercuti di luar negara, khususnya negara-negara yang beriklim sederhana, dinasihati supaya mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berdekatan dengan segera sekiranya mengalami gejala serupa Influenza (ILI).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata ini kerana penularan jangkitan influenza A(H1N1) dilaporkan masih aktif dan terus meningkat di negara-negara di Eropah Tengah dan Asia Selatan dengan 99 peratus kes dikesan berlaku di negara-negara Hemisfera Utara.

Katanya, mana-mana rakyat Malaysia yang ingin ke luar negara untuk melancong, lawatan sosial atau urusan kerja di negara-negara yang berkenaan dinasihatkan juga supaya terus berwaspada dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti mengelak daripada berada di kawasan sesak serta perlu sentiasa membawa kit influenza termasuk bahan pencuci tangan.

"Pengambilan vaksin selesema bermusim juga adalah digalakkan bagi mengurangkan risiko jangkitan selesema yang turut menular di musim sejuk ini di negara-negara berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, merujuk kepada situasi semasa wabak Influenza A(H1N1) dalam negara, Dr Mohd Ismail berkata, setakat ini tiada kematian terbaru dilaporkan sepanjang minggu lalu dan jumlah kematian akibat wabak itu kekal 77 orang.

Katanya, dalam tempoh itu 411 pesakit baru dengan ILI dirujuk ke hospital untuk rawatan dengan 279 kes sedang dirawat di 49 hospital termasuk empat hospital swasta manakala 516 kes sudah didiscaj.

Beliau berkata, daripada jumlah itu hanya lima pesakit disahkan mengidap jangkitan tersebut melalui ujian makmal, seorang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan seorang didiscaj dari ICU, manakala tiga lagi masih dirawat di unit berkenaan.

Sementara itu, Dr Mohd Ismail mengulangi nasihatnya supaya orang ramai tidak memandang ringan atau mengambil mudah langkah-langkah pencegahan yang diumumkan sebelum ini dan mereka juga boleh mendapatkan maklumat terkini berkaitan wabak itu dengan melayari laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my. - Bernama

0 comments: