Followers

Monday, November 30, 2009

CHOGM masih relevan, berupaya zahirkan pandangan berhubung isu global

PORT OF SPAIN (Trinidad dan Tobago): Sidang Kemuncak Komanwel berakhir di sini semalam, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan bahawa badan itu masih relevan dan berupaya menzahirkan pandangan berhubung kepentingan global.

Beliau berkata deklarasi mengenai perubahan iklim yang dikeluarkan oleh para pemimpin Komanwel yang hadir di Port of Spain adalah contoh bagaimana perkumpulan itu berjaya menghadapi keadaan apabila yang menjadi taruhan ialah kelangsungan hidup kebanyakan anggotanya.

Katanya perkumpulan itu yang sebahagian besarnya dianggotai oleh bekas negara jajahan British, telah melaksanakan peranannya dalam membantu negara yang berdepan kesukaran, bukan hanya dalam membawa pembangunan tetapi juga membentuk sistem nilai yang akan mengemudi kejayaan sesebuah negara.

"Contoh jelas mengenai perkara ini ialah langkah Komanwel untuk menerima kemasukan Rwanda, sebuah negara yang musnah akibat pertelingkahan puak, sebagai anggota ke-54," katanya kepada media Malaysia di akhir Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2009 di sini.

Komanwel, kata Najib, adalah institusi yang memberi penekanan kepada sistem nilai seperti demokrasi, kedaulatan undang-undang, hak asasi manusia dan sebagainya yang penting ke arah mencapai keamanan dunia serta mengelak kemusnahan negara.

Bagi saya, Komanwel telah berjaya menjawab kritikan yang seringkali mempersoalkan sama ada badan ini masih relevan.

"... dan ia tetap relevan," kata Najib tentang perkumpulan yang mewakili satu pertiga penduduk dunia yang tinggal dalam negara kecil dan besar, maju serta membangun.

Deklarasi perubahan iklim Komanwel, antara lain, menyokong pembiayaan permulaan segera dan mewujudkan geran pembiayaan, bagi membantu negara yang terjejas teruk dalam menangani kesan buruk perubahan iklim.

Perdana Menteri Denmark Lars Lokke Rasmussen, Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon turut berada di sini bagi melobi untuk mendapatkan sokongan kepada triti iklim baru yang akan dibincang secara panjang lebar pada sidang kemuncak perubahan iklim PBB di Copenhagen mulai 7 Disember ini.

Beliau turut menyambut baik usaha untuk mengadakan sidang kemuncak mengenai penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung, diabetes dan kanser pada 2011.

"Ramai rakyat Malaysia yang menderita akibat ketiga-tiga penyakit ini," katanya yang turut mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatan beliau dari Bangladesh Sheikh Hasina Wajed, yang gagal dalam percubaannya untuk meminta Malaysia menarik balik pembekuan pengambilan pekerja dari Bangladesh.

Selepas tiga hari berbincang yang menyusuli perasmian CHOGM oleh Ratu England Ratu Elizabeth II pada Jumaat lalu, Ketua-Ketua Komanwel mengeluarkan Kenyataan CHOGM di samping Deklarasi Port of Spain: Perkongsian Bagi Masa Depan yang Lebih Saksama dan Lestari.

Dalam deklarasi itu, mereka mengakui bahawa CHOGM berlangsung di tengah-tengah krisis ekonomi dan kewangan global yang melemahkan, kemudahruapan harga komoditi utama dan kesan daripada perubahan iklim yang mencemaskan, yang mengancam keselamatan serta kehidupan berjuta-juta umat manusia. - Bernama

0 comments: