Followers

Thursday, November 26, 2009

Harga beras Siam di Kelantan naik kerana banjir

RANTAU PANJANG: Kesukaran membawa masuk bekalan beras Siam dari Thailand ke Kelantan berikutan kawasan sempadan dilanda banjir menyebabkan harga beras itu naik di negeri ini.

Tinjauan di sekitar daerah Rantau Panjang mendapati kebanyakan peniaga menaikkan harga beras terbabit sehingga RM5 bagi setiap kilogram.

Seorang peniaga, Mustapa Dollah, 45, berkata beliau terpaksa menaikkan harga beras itu kerana kesukaran untuk membawa masuk bekalan.

"Beras naik bukan sebab nak raya haji, tetapi sebab banjir, payah kami nak bawa bekalan beras masuk ke sini.

"Kalau ikutkan malas mahu bersusah-susah ketika banjir ini tetapi ramai peniaga beras yang lain tutup kedai kerana nak membersihkan rumah yang kotor akibat banjir. Terpaksalah saya usaha dapatkan juga beras Siam kerana pelanggan," katanya.

Seorang guru, Miza Morni Azmi, 36, berkata meskipun harga beras itu boleh dikatakan mahal, beliau tetap membelinya untuk keperluan harian dan menyambut hari raya Aidil Adha esok.

"Memang terasa agak mahal kerana selalunya saya beli sepuluh kilogram beras pada harga RM34 kini naik sehingga RM39 dan RM40," katanya. - Bernama

0 comments: