Followers

Friday, November 20, 2009

20 jemaah haji dikesan positif H1N1

JEDDAH: Sebanyak 20 kes Influenza A (H1N1) dilaporkan di kalangan jemaah haji, menurut laporan akhbar harian berbahasa Inggeris Daily Arab News.

Laporan itu memetik Menteri Kesihatan, Dr Abdullah Al-Rabeeah, sebagai berkata 12 daripada mereka kini dirawat manakala baki dalam pemerhatian.

"Kami berharap mereka akan sembuh dalam masa dua hari," katanya.

Beliau berkata, tiada kes jangkitan penyakit lain dilaporkan dalam kalangan jemaah haji dan tindakan kementerian melakukan persediaan awal pada musim haji kali ini mendatangkan hasil.

"Tumpuan kami pada tahun ini adalah terhadap selesema babi dan Jabatan Bagi Pencegahan Perubatan serta agensi haji melantik 80 perunding bagi pusat penjagaan intensif pada masa musim ini," katanya.

Al-Rabeeah berkata, perunding berkenaan termasuk pakar daripada pusat jangkitan penyakit Arab Saudi, negara Arab lain dan Amerika Syarikat dengan sejumlah 10,000 petugas kesihatan termasuk 100 doktor, 60 daripada mereka pakar asing bagi penyakit berjangkit serta 147 jururawat asing bagi unit penjagaan intensif dan pusat kecemasan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan menyediakan 14 hospital di Mekah dengan 2,782 katil, termasuk 244 katil unit penjagaan intensif dan 287 katil di wad kecemasan.

Terdapat juga 35 pusat kesihatan kekal di Makkah, sembilan pusat kesihatan bermusim di sepanjang Lebuh Raya Makkah-Madina dan empat pusat di Masjidil Haram di Mekah, 28 pusat kesihatan di Mina, 46 di Arafat dan enam di Muzdalifah. - Bernama

0 comments: