Followers

Saturday, November 14, 2009

KBS puas hati persiapan Melaka sebagai tuan rumah Sukma ke-13

MELAKA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan oleh Melaka sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 yang akan berlangsung pada pertengahan tahun depan.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata kerajaan Melaka menunjukkan kesungguhan dalam membuat persiapaan termasuk pembinaan gelanggang baru dan penyediaan pegawai kejohanan.

"Melaka juga menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dengan secara terbuka menerima apa juga jenis sukan yang diminta oleh persatuan sukan atau negeri-negeri untuk dipertandingkan pada Sukma ini," katanya selepas melawat

Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC) di Ayer Keroh di sini, malam tadi.

MIBC, adalah gelanggang boling terbesar di Asia Tenggara dengan 52 lorong, kini menjadi tempat Kejohanan Boling Piala Dunia QubicaAMF dari 13 hingga 20 November ini.

Sukma ke-13, mempertandingkan sembilan acara baru iaitu perlumbaan formula future, kanu, golf, ragbi 7-sebelah, bola tampar (pantai dan dewan), kabaddi, judo, lawan pedang dan akuatik (renang berirama dan polo air), bersama-sama 18 acara sukan wajib dan tujuh acara pilihan.

Acara sukan wajib ialah angkat berat, badminton, berbasikal, bola sepak, boling padang, gimnastik, hoki, karate, memanah, menembak, olahraga, perahu layar, akuatik (renang dan terjun), sepak takraw, pencak silat, skuasy, boling dan wushu.

Mengulas acara baru yang dipertandingkan itu, Ahmad Shabery berkata, kementeriannya sedang menunggu pengesahan terakhir daripada pasukan atau negeri yang ingin bertanding kerana acara itu memerlukan sekurang-kurangnya lapan penyertaan.

Ditanya peluang pasukan Malaysia pada kejohanan boling itu, beliau berkata, pemain negara mempunyai peluang baik memandangkan boling adalah sukan utama di mana Malaysia menunjukkan prestasi baik di peringkat dunia.

Malaysia diwakili juara terbuka Malaysia dan Indonesia 2009, Zulmazran Zulkifli, 26, dan juara Kejohanan Ranking Masters Dunia di Naples, Itali pada Mei lalu, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, 19. - Bernama

0 comments: