Followers

Friday, November 13, 2009

Malaysia mahu pertumbuhan ekonomi 5.0 peratus pada 2010

SINGAPURA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata beliau akan sedaya usaha menggerakkan negara bagi memastikan Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi lima peratus tahun depan, dua peratus lebih tinggi berbanding anggaran awal oleh kerajaan.

Beliau berkata pentadbirannya akan mengumumkan model ekonomi baharu Malaysia menjelang akhir tahun, yang akan mengenal pasti sumber baharu pertumbuhan yang akan meningkatkan kadar pertumbuhan negara berbanding 3.0 peratus pasca krisis.

"Saya belum pasti sama ada ia boleh dicapai, namun saya akan mencuba yang terbaik," kata Najib dengan penuh yakin pada sesi dialog Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang diadakan sempena Mesyuarat Pemimpin Apec, di Suntec, di sini.

Najib adalah antara ahli panel pada dialog bertema "Adakah Krisis Global Sudah Berakhir".

Ahli panel lain termasuk Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick, Pengerusi Global PricewaterhouseCoopers International, Dennis M Nally dan Presiden Pembangunan "Inter-American", Dr Luis Alberto Moreno.

Perdana Menteri menjelaskan sumber baharu pertumbuhan itu termasuk pengukuhan permintaan domestik selain mendapatkan sektor swasta, yang masih belum menyumbang secukupkan di Malaysia, terlibat secara aktif.

Sambil memberitahu hadirin bahawa beliau sudah meminta para menteri dan pegawainya supaya berusaha mendapatkan dua peratus itu tahun depan dan tahun-tahun seterusnya, Najib berkata beliau akan berusaha lebih keras dalam memastikan kerajaan lebih cekap, mesra perniagaan dan menjual Malaysia ke luar negara.

Menjawab soalan, Perdana Menteri berkata berdasarkan pelbagai reformasi ekonomi drastik yang diperkenalkan baru-baru ini, beliau yakin dua pakej rangsangan semasa kerajaan akan berjaya.

"Ia mesti berjaya, jika tidak anda tidak akan dapat melihat saya bertahan terlalu lama," katanya secara terus terang, dan disambut gelak-ketawa daripada perwakilan pada sidang kemuncak itu.

Perdana Menteri berkata pakej rangsangan Malaysia adalah antara yang terbesar di dunia memandangkan ia membabitkan kira-kira 9.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK). - Bernama

0 comments: