Followers

Tuesday, October 20, 2009

Insentif tarik FDI antara inti pati Bajet 2010

KUALA LUMPUR: Insentif bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia dijangka menjadi antara inti pati Bajet 2010.

"Memang sudah menjadi tanggungjawab kami untuk menyediakan insentif-insentif perlu bagi menggalakkan FDI ke negara ini," kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir di sini, hari ini.

"Apapun, kita bersaing dengan negara lain, terutama di rantau ini, untuk meraih pelaburan. Saya tidak dapat mengumumkan mengenai insentif khusus dalam Bajet itu.

"Namun yang pasti kerajaan akan memastikan wujud kesinambungan dalam memastikan negara ini menjadi destinasi pelaburan yang kompetitif," katanya.

Mukhriz berkata, kerajaan komited dalam menggalakkan lebih banyak kemasukan FDI menerusi pengecualian cukai dan yang terbaru, liberalisasi 27 subsektor industri perkhidmatan.

"Mengenai insentif baru khusus dalam bajet yang akan dibentangkan Jumaat ini, ia bergantung besar terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Mengulas Dasar Automotif Nasional (NAP), beliau berkata, Kementerian itu dijangka mengumumkan butiran terperinci kajian semula industri itu tidak lama lagi.

"Kita mahukan keseimbangan antara import dan kereta keluaran tempatan, dan yang pasti, Proton yang menjadi tumpuan. Apapun, kami akan mengambil kira kepentingan semua pihak," katanya.

Mukhriz berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Proton adalah satu-satunya kereta yang mendapat status kereta nasional dalam kajian semula NAP itu.

Memandangkan ekonomi negara berkait langsung dengan dagangan dunia, beliau berkata, perlu ada peningkatan dalam industri automotif tempatan, supaya wujud keseimbangan.

"Bila ada kelembapan, kita mendapat impak langsung. Oleh itu, dengan meningkatkan industri automotif, kita boleh seimbangkan aktiviti dagangan kita," katanya. - Bernama

0 comments: