Followers

Monday, September 28, 2009

Juruterbang Air India mogok, penerbangan Chennai-KL tergendala

CHENNAI: Operasi perkhidmatan udara di beberapa lapangan terbang di India sekali lagi dilanda kemelut selepas kira-kira 150 juruterbang Air India yang tidak berpuas hati, enggan bertugas dan mengambil 'cuti sakit' semalam.

Juruterbang berkenaan, kebanyakannya eksekutif kategori bukan ahli kesatuan sekerja, tidak berpuas hati dengan keputusan penjimatan pengurusan Air India untuk memotong insentif berkaitan produktif mereka sebanyak 50 hingga 70 peratus pada Rabu lalu, langkah yang akan mengurangkan secara drastik jumlah gaji mereka sekurang-kurangnya sebanyak 50 peratus.

Setakat pagi tadi, sekurang-kurangnya 20 penerbangan domestik dan antarabangsa sama ada dibatalkan atau ditangguhkan.

Penerbangan syarikat penerbangan kebangsaan itu dari Chennai ke Kuala Lumpur, yang dijadual berlepas pada jam 2 pagi Ahad dibatalkan dan satu lagi penerbangan dari Chennai ke Singapura, dijadual 12.45 pagi tadi juga tergendala.

"Semua penumpang Air India ditempatkan dalam pesawat Air India Express yang berlepas ke Kuala Lumpur pada jam 2.30 pagi.

"Masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai penerbangan pagi esok ke Kuala Lumpur.

"Perbincangan sedang diaturkan dan kami berharap semuanya dapat diselesaikan," kata pegawai kanan Air India yang berpejabat di Chennai hari ini.

Air India, dan anak syarikatnya, Air India Express yang juga syarikat penerbangan tambang murah, beroperasi ke 25 destinasi di seluruh dunia.

Kemelut itu berlaku dalam tempoh kurang dua minggu selepas kira-kira 400 juruterbang Jet Airways secara beramai-ramai "cuti sakit" selama beberapa hari, yang hampir melumpuhkan operasi domestik dan antarabangsa syarikat penerbangan itu.

Juruterbang Jet Airways mendesak pihak pengurusan mengambil semula dua daripada rakan mereka yang dipecat oleh syarikat penerbangan itu kerana cuba menubuhkan kesatuan sekerja.

Pertikaian itu diselesaikan selepas syarikat penerbangan itu bersetuju untuk mengambil semula mereka bekerja dan menggugurkan semua pertuduhan terhadap juruterbang yang mengadakan mogok. - Bernama

0 comments: