Followers

Monday, September 21, 2009

Rumah terbuka Kabinet meriah

KUALA LUMPUR: Walaupun hujan turun dengan lebat untuk seketika, suasana rumah terbuka Hari Raya di Seri Perdana di sini tetap meriah dengan lebih daripada 50,000 rakyat dan orang kenamaam hadir di majlis itu.

Orang ramai mula berduyun-duyun datang ke kediaman rasmi Perdana Menteri seawal jam 9 pagi walaupun majlis rumah terbuka Perdana Menteri dan Kabinet dijadualkan bermula pada jam 11 pagi.

Ahli politik daripada Barisan Nasional (BN) dan parti lain, diplomat, orang kenamaan, pelancong dan wakil pertubuhan bukan kerajaan menghadiri acara itu yang membuktikan semangat sebenar 1Malaysia yang diperjuangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Makanan yang dihidangkan juga membayangkan menu pelbagai kaum di Malaysia dan sehingga jam 3 petang masih ramai yang menunggu giliran untuk mengucapkan selamat Hari Raya kepada Najib dan isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Semasa sidang media di situ, Najib berkata walaupun ini kali pertama beliau mengadakan rumah terbuka selepas mengambil alih jawatan perdana menteri, "semuanya berjalan lancar dan hadirin berpuas hati dengan aturcara majlis dan hidangan."

"Saya, isteri dan kakitangan merancang aturcara dan jenis makanan untuk dihidangkan kepada tetamu dan saya gembira kerana semuanya berjalan lancar mengikut rancangan," kata Najib.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan kerana membantu dalam menjayakan majlis rumah terbuka itu.

Di majlis rumah terbuka ini yang berakhir pada sebelah petang, Najib dan anggota Kabinetnya termasuk Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, dan Menteri Sumber Manusia, Dr S Subramaniam, menyambut tetamu di Dewan Utama Seri Perdana.

Kecuali hujan lebat buat seketika itu, semuanya berjalan lancar dengan polis trafik memastikan lalulintas yang lancar di luar Kompleks Seri Perdana.

Juga satu konsert di ruang terbuka diadakan untuk menghiburkan hadirin dan jelas hadirin gembira dengan hidangan yang disediakan dan dendangan muzik artis tempatan. - Bernama

0 comments: