Followers

Tuesday, August 25, 2009

Sabah & Sarawak: Stok mercun Aidilfitri

Seludup melalui Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar elak taktik dikesan

TELUK SEPANGGAR: Ada berani? Belum pun anak bulan Syawal ditinjau untuk penentuan tarikh raya puasa, sekumpulan 'penjenayah profesional' lebih cepat bertindak mencari jalan menyeludup mercun masuk ke Sabah minggu lalu, dipercayai untuk diedar menjelang sambutan Aidilfitri.

Menyedari ketangkasan pihak berkuasa terutama Kastam Diraja Malaysia (KDRM) mengesan setiap percubaan penyeludupan terutama laluan darat termasuk menyusup di hutan, kumpulan berkenaan mengalih taktik dengan menggunakan laluan halal' iaitu Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, di sini.

Mengisytiharkan barang dibawa masuk sebagai tepung, pakaian dan perkakasan elektrik walaupun hakikatnya ia adalah rokok, minuman keras dan mercun, mereka dipercayai berjaya melepasi pemeriksaan pelabuhan di negara asal sambil berharap tuah sama turut dinikmati di Sabah.

Difahamkan, barang seludup itu adalah stok untuk jualan pasaran gelap dengan harga jauh lebih rendah dan sesetengahnya sudah ada pembeli yang membuat tempahan.

Selicik mana sekalipun akal mereka, anggota KDRM Sabah jelas jauh lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Pergerakan mencurigakan barang yang melepasi pemeriksaan diperhati dengan rapi tanpa disedari suspek yang mengira `keuntungan atas angin'.

Pengarah KDRM Sabah, Datuk Md Yusof Mansor, berkata penyeludup terbabit berasa lebih selamat menggunakan pelabuhan kerana yakin tiada pemeriksaan ketat dilakukan sebaik lulus perisytiharan di negara asal.

"Berdasarkan beberapa siri rampasan barang seludup, KDRM Sabah mendapati ada barang dibawa masuk melalui Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar.

"Ia dikesan menerusi dokumen perisytiharan barang dikemukakan, kononnya barang itu adalah tepung, pakaian dan barang elektrik tetapi apabila diperiksa lanjut, ia adalah rokok, minuman keras dan mercun," katanya di sini, baru-baru ini.

Mengikut Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), KDRM tidak boleh menyekat kemasukan kontena yang mematuhi syarat pihak berkuasa pelabuhan di negara asal barang itu dibawa.

Md Yusof berkata, pihaknya cuma boleh membuat pemeriksaan selepas barang dipunggah dan jumlah barang terlalu banyak untuk diperiksa menyebabkan ada beberapa kes barang larang terlepas pandang seperti minuman keras, rokok dan mercun.

"Ada yang berjaya dirampas semula ketika cuba diseludup ke pasaran gelap. Ada juga ejen cuba melawan dengan alasan barang melepasi tapisan di pelabuhan dengan menunjukkan dokumen perisytiharan barang," katanya.

Minggu lalu, KDRM Sabah melakukan rampasan terbesar mercun di negeri itu setakat ini iaitu 239 kotak bernilai RM250,000 di sebuah rumah tidak bernombor di Menggatal, dekat sini.

Rampasan itu membawa kepada penahanan seorang suspek lelaki berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan manakala pemilik kediaman masih dikesan.

Penjualan dan permainan mercun adalah kesalahan mengikut Akta Kastam 1967 dan sesiapa didapati melindungi, menyimpan, menyembunyi atau memiliki mercun melakukan kesalahan mengikut Seksyen (1)(d) akta itu.

Mereka yang disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali nilai mercun dan tidak lebih 20 kali ganda nilai bahan letupan berkenaan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

KDRM Sabah turut merampas 27,500 kotak rokok larang pelbagai jenama bernilai RM27,500 membabitkan cukai RM249,000, dan 105 liter minuman keras pelbagai jenama bernilai RM6,480 dengan cukai RM12,005 selepas menahan sebuah van di Jalan Beaufort-Papar, Beaufort, Khamis lalu.

Md Yusop berkata, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Antara jenama minuman keras kerap diseludup ialah Jack Daniels, Absolut Vodka, Chivas Regal, Red Horse dan Heineken manakala rokok pula Tex, LA, Surya Gudang Garam, Era, Astro, Fit, John, 500 dan Champion.

Mercun yang dirampas ialah bags, dinosaur eggs, 6 balls, double thunder clap dan netapna-naryluka.

0 comments: