Followers

Monday, August 17, 2009

H1N1: MB Kedah mahu kerajaan isytihar darurat kesihatan

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, mendesak Kementerian Kesihatan mengumumkan darurat kesihatan dalam tempoh terdekat berikutan penularan wabak Influeza A (H1N1) yang disifatkan serius dan memerlukan langkah drastik bagi menyelamatkan nyawa rakyat.

Azizan berkata, beliau difahamkan Malaysia adalah negara keempat mencatat angka kematian dan jangkitan tertinggi H1N1 dan keadaan ini sekali gus mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersedia untuk membatalkan semua program dan keraian yang membabitkan majlis sosial, termasuk sambutan hari kemerdekaan jika keadaan dilaporkan semakin meruncing.

"Saya hanya menunggu keputusan Kerajaan Pusat, jika kerajaan memutuskan darurat kesihatan, kerajaan negeri sedia membatalkan semua keraian yang membabitkan majlis sosial termasuk sambutan hari kemerdekaan.

"Perkara ini perlu dipandang serius kerana kematian akibat penyakit terbabit semakin tinggi dan jika langkah pencegahan tidak diambil kita bimbang lebih ramai nyawa akan terkorban," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kakitangan Awam di Wisma Darulaman di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan perlu mendedahkan laporan sebenar mengenai tahap penularan penyakit itu di negara ini bagi menyedarkan rakyat betapa penting mengamalkan kaedah perlindungan, termasuk pemakaian topeng ketika ini.

"Saya berpendapat kerajaan perlu telus dan tidak perlu menyembunyikan perkara sebenar (penularan H1N1) kerana ia hanya akan memburukkan keadaan.

"Saya percaya, jika keadaan sebenar didedahkan termasuk laporan tahap penularan wabak ini dan kawasan panas, mungkin rakyat tidak akan memandang sambil lewa dan akan mengamalkan langkah perlindungan untuk menyelamatkan nyawa mereka.

"Saya kira ia (mendedahkan perkara sebenar) dianggap satu kaedah positif mengekang penularan virus berbahaya itu," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai potensi calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang, Azizan berkata, beliau tidak menganggap faktor umur antara kedua-dua calon sebagai satu modal kemenangan.

"Soal umur bukan faktor untuk menang atau kalah dalam pilihan raya. Tetapi mungkin itu kelebihan kepada calon (Pas)," katanya enggan mengulas lanjut.

Pada pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, BN menurunkan Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38, sebagai calon, manakala Pas pula meletakkan Pesuruhjaya Pas Pusat Pulau Pinang, Salleh Man, 52.

0 comments: