Followers

Friday, August 14, 2009

Kawasan panas H1N1 mungkin diumumkan: TPM

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membincangkan dengan pegawai Kementerian Kesihatan kemungkinan mengumumkan kepada orang ramai kawasan atau lokasi panas di negara ini yang banyak mencatatkan kes Influenza A(H1N1).

Timbalan Perdana Menteri berkata, negara kini pada peringkat mencari jalan menangani penularan virus wabak itu kerana tahap mengkuarantin telah dilaksanakan kira-kira sebulan lalu.

"Ia boleh dikatakan kita pada peringkat membimbangkan. Bagaimanapun kita telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk menangani masalah ini. Kita tidak ada untuk disembunyikan dan maklumat diberikan kepada orang ramai setiap hari melalui media.

"Dari situ kita boleh tahu lokasi seperti jika sebuah sekolah ditutup di sesuatu kawasan. Sungguhpun peratus kes H1N1 di negara masih lagi rendah berbanding dengan jumlah keseluruhan penduduk, kita tidak boleh ambil ringan dengan ancaman ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Pencegahan Jenayah anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata antara tindakan yang diambil kerajaan ialah memastikan semua hospital di negara ini termasuk hospital swasta menyediakan ubat H1N1, Tamiflu.

"Kesedaran orang ramai juga ditingkatkan. Kini semua hospital tahu langkah-langkah yang akan diambil untuk merawat mereka yang dijangkiti virus ini," katanya.

Beliau berkata, walaupun mungkin ada sesetengah lokasi di negara ini yang belum lagi mencatatkan pesakit Influenza A(H1N1), ini tidak bermakna lokasi itu bebas daripada virus berkenaan.

Katanya, kerajaan tidak mengambil ringan dalam mengendalikan H1N1 kerana ia membabitkan nyawa orang ramai dan tindakan penting diambil bagi membendung penyakit itu

"Mengenai kawasan panas, kita perlu tahu jika ia akan membantu membendung penularan penyakit itu. Jika Kementerian Kesihatan merasakan bahawa ia akan membantu, barulah kita akan teruskan dan memaklumkan lokasi-lokasi berkenaan.

"Ini berbeza dengan jerebu, kita siarkan kawasan panas. Jerebu boleh dilihat dengan mata kasar tetapi bukan H1N1. Jadi kita hendaklah berhati-hati," katanya.

Timbalan Perdana Menteri itu juga berkata, peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta telah diberikan kepada Kementerian Kesihatan untuk menyimpan bekalan Tamiflu. - Bernama

0 comments: