Followers

Thursday, December 10, 2009

Kementerian kaji aktiviti elak pelajar ponteng

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran sedang mengkaji aktiviti yang sesuai dijalankan di sekolah untuk murid dan pelajar selepas tamat menduduki peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi mengelak mereka ponteng sekolah.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata langkah ini perlu dilaksanakan untuk mengatasi gejala ponteng sekolah khususnya di kalangan mereka yang selesai menduduki peperiksaan itu.

"Antara faktor ponteng ialah apabila selesai peperiksaan (mereka) kena ada di sekolah, ini menyebabkan para pelajar bosan kerana tiada apa nak belajar... jadi mereka ponteng," katanya menjawab soalan tambahan Senator Zamri Yusof pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau berkata, kementerian juga melaksanakan Program Piawaian Keselamatan Sekolah yang memberi tumpuan kepada lima aspek termasuk pengurusan aktiviti murid, pengurusan keselamatan dalam menangani gejala sosial dan pengurusan keselamatan dalam menghadapi krisis dan bencana.

"Dengan adanya program ini, kita harap dapat mengenali apakah aktiviti sesuai kepada pelajar yang sedang tunggu keputusan peperiksaan tetapi diwajibkan berada di sekolah.

"Mungkin akan diadakan program motivasi, perkhemahan atau yang melibatkan aktiviti berkumpulan dan pertandingan. Ini akan mengelak murid bosan dan guru pun tidak bosan kerana tiada apa yang perlu diajar," katanya.

Ketika menjawab soalan asal Senator Wan Ramlah Wan Ahmad mengenai kajian terperinci untuk mengetahui punca kegiatan ponteng sekolah yang masih berlaku walaupun pelbagai program diperkenalkan, Mohd Puad berkata kementerian bersetuju agar pendekatan secara holistik digunakan dengan membabitkan pelbagai pihak termasuk ibu bapa.

"Ini disebabkan faktor yang mempengaruhi salah laku itu adalah pelbagai dan tidak hanya berpunca daripada sekolah sahaja," katanya. - Bernama

0 comments: