Followers

Thursday, October 22, 2009

PM New Zealand lawat Malaysia mulai Ahad

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri New Zealand, John Key akan tiba Ahad ini untuk lawatan tiga hari ke Malaysia.

Tujuan utama lawatan kerja itu, yang pertama ke Malaysia oleh Key sejak memegang jawatan itu November tahun lalu, adalah untuk menjalin hubungan kerja dan persahabatan dengan Datuk Seri Najib Razak, kata kenyataan Wisma Putra hari ini.

"Kedua-dua Perdana Menteri akan berbincang dan bertukar-tukar pendapat mengenai isu dua hala, serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama," kata Wisma Putra.

Key juga dijadual menyaksikan majlis menandatangani perjanjian perdagangan bebas Malaysia-New Zealand (MNZFTA).

MNZFTA adalah perjanjian perdagangan bebas dua hala ketiga yang akan ditandatangani oleh Malaysia selepas Jepun dan Pakistan.

Najib akan menganjurkan majlis makan malam bagi meraikan Key, Isnin ini.

Pemimpin New Zealand itu akan diiringi oleh Menteri Perdagangan Tim Groser, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan lebih 60 ahli perniagaan.

Key juga dijadual merasmikan pembukaan Dairymas, kilang kedua kepunyaan Fonterra Brands, syarikat multinasional New Zealand yang terbesar dan pembekal tenusu terbesar dunia, di Shah Alam.

Fonterra melabur RM25 juta dalam kilang itu yang mengeluarkan makanan tenusu kultur.

Malaysia adalah pasaran keenam terbesar bagi Fonterra. - Bernama

0 comments: