Followers

Monday, October 12, 2009

Perhimpunan Agung Umno 2009: Pendaftaran berjalan lancar

KUALA LUMPUR: Proses pendaftaran perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2009 hari ini, berjalan lancar dan rata-rata perwakilan menunjukkan reaksi positif berhubung pindaan perlembagaan yang akan dibentangkan pada perhimpunan agung khas Umno, Khamis ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata pendaftaran untuk ketiga-tiga sayap Umno iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri, yang bermula 10 pagi tadi dan pendaftaran perwakilan bahagian yang dibuka pada 2 petang ini berjalan dengan lancar.

Katanya, ia adalah kerana segala persediaan sudah disiapkan awal-awal lagi oleh urusetia yang bertugas.

"Kita dapat lihat perwakilan daripada ketiga-tiga sayap sudah mula berpusu-pusu datang mendaftarkan diri dan mengambil beg-beg cenderamata yang disediakan," katanya di sini, hari ini.

Tahun ini, beg-beg cenderamata perwakilan ke perhimpunan agung pergerakan Wanita, Pemuda, Puteri serta perhimpunan agung Umno tertera logo 1Malaysia.

Walaupun kaunter pendaftaran hanya dibuka pada jam 10 pagi, namun tinjauan dibuat mendapati ada perwakilan yang tiba di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), tempat berlangsungnya perhimpunan itu, seawal 8 pagi.

Naimah Mat Nor, 52, perwakilan Wanita dari Pasir Mas, Kelantan, berkata beliau dan sembilan orang rakannya tiba di Stesen Sentral Kuala Lumpur Subuh tadi dengan menaiki keretapi dari Pasir Mas.

Perjalanan selama 12 jam itu tidak sedikit pun melenturkan semangat Naimah dan rakan-rakan untuk menghadiri perhimpunan dan mereka amat berharap perhimpunan kali ini akan menjadi anjakan paradigma dalam pergerakan Wanita dan Umno.

"Kita harap pembentangan pindaan perlembagaan akan dapat sokongan penuh dan beri sinar baru pada Umno. Dan kita harap Umno akan jadi parti pilihan rakyat, khasnya rakyat Kelantan," kata guru Kemas itu.

Bagaimanapun, ahli Pergerakan Pemuda, Mohammaddin Mohd Yassin, 39, berkata beliau akan mengambil sikap ''tunggu dan lihat'' berhubung pindaan perlembagaan tersebut.

"Saya akan ''pasang telinga'' untuk dengar ucapan dan perbahasan, dan lihat perkembangannya," katanya.

Guru dari Keningau, Sabah itu tiba di Kuala Lumpur malam tadi bersama empat orang perwakilan dari Umno Bahagian Keningau.

Sementara itu, perwakilan Puteri dari Padang Besar, Perlis, Rousni Ismail, 33, berkata beliau dan kumpulannya seramai 13 orang, berkonvoi dengan tiga kereta dari utara untuk menghadiri perhimpunan tersebut.

"Alhamdullilah kami sampai juga di Kuala Lumpur pada jam 9 malam tadi selepas memulakan perjalanan pada jam 3 petang semalam dan menempuh kesesakkan kerana ada kemalangan di lebuh raya," katanya.

Mwngulas harapan beliau berhubung pindaan perlembagaan, Rousni berkata, pindaan itu akan membolehkan suara Puteri di peringkat akar umbi didengar oleh kepimpinan tertinggi, dalam membuat keputusan parti dan memilih calon pemimpin.

"Kita juga harap pindaan ini akan lebih menarik minat generasi muda untuk menyertai gerakan Puteri dan Umno," katanya.

Pendaftaran perwakilan dibuka sehingga 5 petang ini. - Bernama

0 comments: