Followers

Monday, October 19, 2009

Pasukan perubatan Tabung Haji sedia hadapi H1N1

MADINAH: Pasukan Petugas Perubatan Tabung Haji dilengkapi dengan tenaga pakar serta peralatan yang cukup bagi menghadapi sebarang kemungkinan penularan wabak Influenza A(H1N1) di kalangan 26,000 jemaah haji Malaysia pada musim haji tahun ini.

Pengarah Operasi Kesihatan Tabung Haji di Madinah, Dr Wan Mansor Wan Hamzah, berkata secara umumnya semua petugas Tabung Haji serta jemaah haji telah diberikan suntikan vaksin “Meningococcal Quadrivalent” iaitu suntikan bagi pencegahan radang paru-paru iaitu suntikan wajib yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

"Selain itu, suntikan tambahan bagi mencegah penyakit selesema bermusim juga diberikan kepada semua petugas dan jemaah haji Malaysia sebagai menggantikan suntikan vaksin mencegah selesema H1N1.

"Oleh kerana vaksin mencegah selesema H1N1 masih belum didapati, kerajaan Arab Saudi telah bersetuju agar jemaah haji Malaysia mendapatkan suntikan selesema bermusim sebagai ganti," katanya katanya kepada pasukan media Malaysia di sini yang membuat liputan sepanjang musim haji tahun ini.

Beliau berkata, walaupun kedua-dua suntikan itu telah diberikan, jemaah haji Malaysia perlu sentiasa berwaspada sewaktu melakukan rukun haji seperti tawaf dan saei kerana mereka akan bercampur dengan jemaah haji dari seluruh dunia.

Bagaimanapun, katanya, kes penularan selesema H1N1 di Arab Saudi masih terkawal dan tidak membimbangkan.

Dr Wan Mansor berkata, seramai 36 orang petugas perubatan di Madinah telah membuat persediaan terakhir dari segi peralatan, katil serta ubat-ubatan yang akan digunakan bagi merawat jemaah haji yang akan mula sampai di sini menerusi penerbangan pertama esok.

Beliau berkata, bagi jemaah haji yang sakit, rawatan awal akan diberikan oleh petugas di hotel tempat jemaah haji berkenaan menginap dan sekiranya rawatan lanjut diperlukan, mereka akan dihantar ke klinik rawatan di bangunan Tabung Haji di Madinah.

Dr Wan Mansor juga mengingatkan bakal haji Malaysia supaya mengutamakan kesihatan sejak dan sebelum berlepas ke tanah suci lagi.

Katanya, ini penting kerana cuaca di Arab Saudi terutama di Makkah dan Madinah adalah panas sehingga mencapai suhu 38 darjah celcius.

"Oleh itu, jemaah haji perlu berhati-hati ketika menjalankan ibadah sepanjang berada di tanah suci dan jangan terlalu memaksa diri sehingga akhirnya menjejaskan kesihatan sendiri," katanya.

0 comments: