Followers

Saturday, October 3, 2009

Mustapa ketuai rombongan perdagangan, Qatar, Mesir, Arab Saudi

KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, akan berangkat Ahad ini untuk mengetuai misi rombongan perdagangan dan pelaburan ke Qatar, Mesir dan Arab Saudi selama seminggu.

Rombongan itu akan disertai wakil Halal Industry Development Corporation (HDC), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Perbadanan Perkhidmatan Pembangunan Profesional (PSDC) dan Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA).

Pegawai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan SME Corporation Malaysia dan pegawai eksekutif kanan syarikat Malaysia akan turut menyertai rombongan itu.

"Misi ini akan memaklumkan perkembangan terkini berkenaan keadaan ekonomi semasa Malaysia serta peluang perdagangan dan pelaburan kepada komuniti perniagaan di negara tersebut.

"Ia juga akan mempromosi produk dan perkhidmatan Malaysia, mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dan mewujudkan inisiatif kerjasama serta usaha sama," kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan, hari ini.

Semasa lawatan itu, Mustapa akan berjumpa ketua industri dan pihak berkuasa tempatan berkaitan bagi menerangkan peluang perniagaan dan pelaburan di Malaysia serta usaha yang dilakukan kerajaan untuk memperkukuh ekonomi, merangsang pertumbuhan dan menangani kesan-kesan kelembapan ekonomi global.

"Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC) Malaysia dan Qatar akan diadakan pada 5 Oktober di Doha manakala Malaysia dan Mesir akan diadakan pada 7 Oktober 2009 di Kaherah. Mesyuarat tersebut akan membincangkan mengenai isu perdagangan dan pelaburan serta cadangan mengenai program kerjasama ekonomi yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara," menurut kenyataan itu. - Bernama

0 comments: