Followers

Saturday, October 24, 2009

Kajian keberkesanan PLKN dibuat terhadap 60,000 bekas pelatih

KUALA LUMPUR: Satu kajian keberkesanan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) terhadap 60,000 bekas pelatih akan diadakan bagi mengenal pasti sejauh mana pelaksanaan program itu memberi kesan kepada mereka dan masyarakat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kajian itu akan dilaksanakan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) bermula 1 November ini selama sebulan, dengan seramai 5,000 kakitangan dan jurulatih PLKN serta kelab alumni program itu terbabit dalam kajian berkenaan.

"Kita akan memilih responden secara berstruktur dan mensasarkan seramai 60,000 peserta daripada 430,000 bekas peserta PLKN.

"Mereka akan diberi borang soal selidik dan penyelidik akan menemubual mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival Kelab Kakitangan Awam Kementerian Pertahanan (Kakep) di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata kajian itu juga bertujuan mendapatkan pandangan masyarakat mengenai PLKN dalam usaha membantu JLKN merancang penambahbaikan modul-modul latihan PLKN.

Oleh itu, katanya JLKN akan menumpukan kepada kumpulan sasar iaitu bekas pelatih PLKN, ibu bapa dan penjaga bekas pelatih, majikan bekas pelatih, pusat pengajian tinggi, pusat pendidikan dan masyarakat umum bagi mencapai matlamat itu.

"Kita harap apabila kajian ini siap kelak, ia akan dikemukakan kepada jemaah menteri untuk mendapatkan pandangan mereka terhadap beberapa langkah lanjut," katanya.

Sementara itu, mengenai bajet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam bagi Kementerian Pertahanan, Ahmad Zahid berkata pihaknya akur dengan jumlah yang diperuntukan itu walaupun ia berkurangan berbanding bajet yang diumum tahun lalu.

"Ini adalah kerana situasi ekonomi tidak mengizinkan Kementerian Pertahanan untuk memperolehi bajet yang lebih namun penggantian aset dan penambahbaikan insfrastruktur dan kemudahan angkatan tentera tidak boleh dilambatkan," katanya. - Bernama

1 comments:

ninim said...

dah isi pun borang tu...heheh