Followers

Saturday, May 30, 2009

Sabah & Sarawak: 3,000 usahawan dilatih Mardi sepanjang 15 tahun

Fokus utama pengeluaran berasaskan hasil pertanian

SEPANGGAR: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Sabah melatih kira-kira 3,000 usahawan yang terbabit dalam pelbagai bidang pemprosesan makanan sejak agensi itu dikembangkan ke negeri ini kira-kira 15 tahun lalu.

Pengarah Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi Mardi, Datuk Dr Masri Muhamad, berkata kebanyakan mereka terbabit dalam pengeluaran makanan berasaskan hasil pertanian dan makanan laut, selaras tumpuan Mardi Sabah terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D) makanan sektor itu.

Katanya, usaha melahirkan usahawan terbabit selaras dengan komitmen Mardi Sabah mengembangkan sektor pengeluaran makanan di negeri itu bagi menampung keperluan tempatan atau untuk eksport di samping membimbing usahawan untuk berjaya dalam perniagaan.

"Menerusi latihan, Mardi menerapkan proses pemindahan teknologi dengan menggalakkan usahawan menggunakan kaedah pengeluaran yang disyorkan Mardi bagi meningkatkan kemampuan mereka mengeluarkan produk makanan secara komersial.

"Usaha melatih usahawan akan diteruskan dari semasa ke semasa menerusi pelbagai program pengembangan dan bimbingan usahawan yang dijalankan di seluruh negeri. Tahun lalu saja, seramai 400 usahawan dapat dilatih," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran program Ujian Penataran pemprosesan makanan Mardi Sabah yang disempurnakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin, di sini, kelmarin.

Dr Masri berkata, ketika ini Mardi Sabah turut memberi khidmat nasihat dan bimbingan teknikal kepada 16 usahawan bimbingan dan dua usahawan anak angkat Mardi di negeri itu.

"Pada 2007, usahawan anak angkat Mardi Sabah iaitu Sajiria Sdn Bhd memenangi Anugerah Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Jaya Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat negeri.

"Tahun lalu pula, syarikat Kebun Rimau Sdn Bhd, usahawan anak angkat Mardi dari Apas, Balung di Tawau memenangi Anugerah Kecemerlangan Inovasi Pertanian dan Industri Asas Tani Jaya peringkat kebangsaan.

"Ini menunjukkan usahawan dari negeri ini mampu bersaing di peringkat kebangsaan dengan syarat mereka mahu menggunakan teknologi moden dalam perusahaan mereka," katanya.

0 comments: