Followers

Saturday, May 30, 2009

14 notifikasi kes H1N1 diterima sehingga pagi ini

KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 kes lagi dimasukkan ke wad pengasingan di lima Hospital Rujukan Influenza A (H1N1) sehingga jam 8 pagi ini bagi tujuan penyiasatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata daripada jumlah itu, 13 disahkan negatif manakala satu lagi masih menunggu keputusan.

"Sehingga kini, sebanyak 324 kes sudah dimasukkan ke wad pengasingan untuk penyiasatan dengan 321 disahkan negatif dan dua disahkan positif," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dua kes positif adalah seperti yang dilaporkan pada 15 dan 16 Mei lalu.

Beliau berkata, seperti yang dilaporkan semalam, tujuh orang masih diletakkan di bawah kuarantin rumah, tetapi berada dalam keadaan sihat.

Dr Mohd Ismail berkata, dua daripadanya ialah kontak kepada kes yang disahkan di Taiwan pada 24 Mei lalu, dikuarantin sehingga Ahad ini manakala lima individu lagi adalah kontak kepada kes di Singapura pada 26 Mei lalu dikuarantin sehingga Selasa ini.

Beliau berkata, sehingga kini, Malaysia bebas daripada penularan Influenza A (H1N1) dan pelawat luar negara serta penduduk Malaysia tidak perlu bimbang kerana negara ini selamat daripada jangkitan penyakit itu.

Dr Mohd Ismail berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan sehingga jam 6 petang semalam, tiga negara baru melaporkan kejadian Influenza A (H1N1), menjadikan jumlah negara terbabit bertambah kepada 53 negara.

Pada masa sama, sebanyak 738 kes baru dilapor di seluruh dunia menjadikan jumlah keseluruhan kes Influenza A (H1N1) disahkan melalui ujian makmal sehingga kini ialah 15,510 kes.

Tiga kematian baru dilaporkan, iaitu Kanada (1) dan Mexico (2), menjadikan jumlah kematian sehingga kini sebanyak 99 orang. - Bernama

0 comments: