Followers

Thursday, July 22, 2010

Jangan buat andaian pemansuhan UPSR, PMR: Muhyiddin

LABUAN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meminta orang ramai dan media supaya tidak membuat sebarang andaian berdasarkan pandangan beberapa individu mengenai cadangan memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata perbincangan meja bulat mengenai cadangan itu belum selesai dan spekulasi tidak patut dibuat berdasarkan komen pihak tertentu yang terbabit dalam sesi perbincangan pertama Isnin lalu.
"Kita belum lagi selesai meja bulat yang sedang kita lakukan. Saya belum dapat laporan lengkap dan saya akan tunggu selepas selesai meja bulat yang kedua.
"Saya minta media jangan buat andaian, ada orang (keluar) dari meja bulat kata begini yang lain bila keluar pula kata begitu. Itu tak jadi makna, itu pandangan mereka tapi akhirnya kementerian dan kerajaan akan menimbang apa yang terbaik yang boleh kita laksanakan. Jadi ini harus menunggu sedikit masa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, perbincangan meja bulat itu membabitkan pelbagai organisasi seperti kumpulan pendidik, badan politik, badan ekonomi dan badan bukan kerajaan.

"Selepas selesai nanti, laporan akan disampai kepada saya oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Tan Sri Alimuddin Mohd Dom) dan kita akan meneliti semua pandangan yang ada, apa pro dan kontra.

"Apapun saya tak boleh nak memutuskan (sekarang), kerana bagi saya, penting kita bagi peluang kepada semua pihak yang berminat untuk mengemukakan pandangan mereka," katanya.
Ketika merasmikan seminar antarabangsa penyelidikan pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan 2010 selepas itu, Muhyiddin berkata Malaysia perlu bertindak dengan cepat untuk melaksanakan pembaharuan dalam sistem pendidikan negara jika mahu menjadi sebuah negara maju.

Katanya, negara yang sedang bersaing hebat dalam ekonomi global hari ini masing-masing sedang melakukan perubahan yang mendasar dalam sistem pendidikan negara mereka, justeru itu Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam perlumbaan ini.

"Majalah 'Newsweek' keluaran terbaru misalnya melaporkan bagaimana cendekiawan di Amerika Syarikat sedang bergelut dengan masalah kemerosotan daya kreativiti di kalangan rakyatnya dan masalah ini dikaitkan dengan obsesi sekolah-sekolah di Amerika dalam melaksanakan kurikulum yang seragam.

"China dan Britain telah merombak kurikulum pendidikan negara masing-masing untuk meningkatkan elemen kreativiti dan inovasi dalam proses pembelajaran. Pendek kata, di negara ini, penerapan elemen kreativiti dan inovasi sudah menjadi satu agenda nasional yang dilaksanakan secara bersepadu," katanya.

Muhyiddin berkata, falsafah dan kurikulum pendidikan yang baik saja tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya ia gagal diterjemahkan secara berkesan dalam bilik darjah.

"Saya percaya pedagogi yang berkualiti dapat dijana melalui kajian tindakan dan tinjauan yang dijalankan sepanjang masa oleh guru dalam pengurusan kelas, pengajaran dan pembelajaran.

"Melalui kajian tindakan, guru-guru boleh menghasilkan penemuan baru mengenai kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, seterusnya berkongsi penemuan ini dengan rakan-rakan yang lain," katanya. - BERNAMA

Pelajar perlu tumpu 3K untuk layak ke IPT: Saifuddin

KUANTAN: Pelajar dinasihatkan memberi tumpuan kepada elemen 3K iaitu kursus, kelayakan dan kokurikulum sekiranya mahu terpilih ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata elemen berkenaan juga perlu dipandang serius oleh tenaga pengajar dan ibu bapa selain pelajar itu sendiri.
Mengenai elemen kursus, katanya, seseorang pelajar itu perlu bijak memilih kursus yang bakal diambilnya di universiti kelak selaras dengan kebolehan dan kemahirannya, bukannya kerana kursus itu popular atau hanya mengikut kawan semata-mata.
"Perlu pilih kursus yang betul dan betul-betul minat dan bukannya mengikut kawan sebab kalau tidak minat kursus itu akan membawa kepada masalah lain pula akhirnya," katanya kepada pemberita di majlis penutup program Selangkah Ke Universiti di Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini hari ini.

Saifuddin berkata, bagi elemen kelayakan, pelajar perlu memohon kursus yang sesuai dengan kelayakan dan yang ditawarkan universiti.

Beliau berkata, pelajar yang gagal ditawarkan ke universiti kebiasaannya tidak memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan sesuatu universiti itu di mana syaratnya berbeza mengikut tahun.

"Mereka mempersoalkan kenapa yang dapat 6A tidak dapat tempat sedangkan yang dapat 5A diberikan tempat. Mungkin kelayakan yang dapat 6A itu tidak sesuai dengan kehendak universiti berkenaan," katanya.
Beliau berkata, pelajar juga perlu menyedari bahawa persaingan sesama mereka sendiri untuk mendapat tempat di IPT semakin kompetitif justeru mereka perlu tahu kelayakan yang diperlukan oleh universiti setiap tahun.

Selain itu, katanya, kokurikulum juga perlu dititikberatkan oleh setiap pelajar kerana untuk layak ke IPT, pertimbangan yang diberikan ialah 10 peratus untuk kokurikulum manakala 90 peratus lagi adalah akademik.

Katanya, sekiranya seorang pelajar itu hanya cemerlang di dalam bidang akademik manakala kokurikulumnya sifar, kebarangkalian peluangnya untuk ke universiti juga adalah kurang.

"Ini kerana universiti amat selektif dalam memilih pelajarnya dan hanya yang cemerlang dalam kedua-dua bidang akan diberi keutamaan," katanya. - BERNAMA

Polis sahkan remaja ditemui dibunuh dengan kejam mangsa rogol

KOTA BHARU: Polis Kelantan mengesahkan seorang remaja yang ditemui mati dibunuh dengan kejam di Sungai Bagan di Pulai Chondong, Machang, kelmarin, telah dirogol.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Amir Hamzah Ibrahim berkata, laporan bedah siasat yang dijalankan pihak hospital terhadap remaja berkenaan mendapati mangsa dirogol bagaimanapun pihaknya belum dapat mengesahkan sama ada mangsa dirogol sebelum ditikam atau sebaliknya.
"Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini dan sehingga kini kita hanya dapat mengesahkan bahawa mangsa telah dirogol melalui bedah siasat yang dijalankan pihak Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
"Bagaimanapun sama ada mangsa dirogol sebelum ditikam atau ditikam dan kemudian dirogol itu belum dapat kita pastikan," katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari sempena lawatan persaraan beliau sebagai Timbalan Ketua Polis Kelantan, di Ibu Pejabat Polis daerah Kota Baharu, Pengkalan Chepa hari ini.

Mengenai dakwaan mangsa dirogol beberapa kali, beliau berkata polis juga tidak dapat mengesahkannya.

Amir Hamzah berkata, sehingga kini tiada sebarang tangkapan dilakukan pihaknya berhubung kes itu bagaimanapun polis telah mengenal pasti seorang individu yang dipercayai suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan itu.

Katanya, tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat bagi membantu polis menjalankan siasatan berhubung punca kejadian itu.
Dua hari lalu, seorang gadis yang dikenali sebagai Ilya Nabilah Rosnata, 19, yang berasal dari Kampung Pendek, Kota Bharu, ditemui mati dibunuh dengan kejam di Sungai Bagan, Pulai Chondong, di Machang.

Mayat mangsa yang dipercayai dibunuh kira-kira seminggu lalu ditemui terapung-apung di dalam Sungai Bagan yang terletak di sebuah ladang kelapa sawit itu dijumpai diikat pada sebatang pokok di tebing sungai oleh penduduk kampung dalam keadaan bogel selain terdapat kesan tikaman di dada.

Mengulas majlis itu, Amir Hamzah berkata beliau akan bersara pada 12 Ogos ini selepas tiga tahun menyandang jawatan Timbalan Ketua Polis Kelantan iaitu pada 7 Ogos 2007.

Amir Hamzah mula berkhidmat sebagai anggota polis selama 35 tahun iaitu pada 18 Jun 1975. - BERNAMA

Kes positif H1N1 turun 29.7 peratus minggu lalu

KUALA LUMPUR: Jumlah kes positif infulenza A (H1N1) turun 29.7 peratus kepada 52 kes bagi tempoh dari 11 hingga 17 Julai lalu berbanding 74 kes pada minggu sebelum itu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, dalam satu kenyataan hari ini, berkata ini menjadikan jumlah terkumpul kes positif H1N1 kini 15,380, dengan jumlah kematian kekal 91 orang.
Beliau berkata, bagi tempoh yang sama dari 11 hingga 17 Julai, enam kejadian kluster Penyakit Serupa Influenza (ILI) yang baru dilaporkan di Kedah, Melaka, Selangor dan Perak.
Katanya, jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan simptom ILI juga turun 9.2 peratus iaitu 516 orang berbanding 568 pesakit pada minggu sebelumnya, manakala baki kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara setakat 17 Julai ialah 375 kes di 64 hospital termasuk di 10 hospital swasta.

"Daripada jumlah itu, hanya 37 pesakit atau 9.9 peratus adalah kes influenza A (H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal. Juga terdapat lima kes H1N1 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua daripadanya membabitkan individu yang mempunyai faktor risiko," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata, sehingga 16 Julai, 97.54 peratus vaksin H1N1 sudah digunakan membabitkan 369,225 penerima.

"Daripada jumlah ini, 99,333 orang ialah petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan, dan 94,905 lagi adalah petugas hadapan bukan anggota kementerian seperti polis, tentera, bomba, imigresen dan lain-lain.
"Sejumlah 174,987 lagi merupakan orang awam daripada kumpulan sasar berkeutamaan dan menjadikan vaksin H1N1 habis di kebanyakan negeri kecuali negeri Johor yang masih terdapat lebih kurang 4,000 dos baki vaksin," katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan orang ramai bahawa jangkitan inluenza A (H1N1) masih aktif dan orang awam perlu sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah kawalan dan pencegahan. - BERNAMA