Followers

Wednesday, January 6, 2010

Polis anggap kes pembunuhan empat beranak selesai

TAMPIN: Polis menganggap kes pembunuhan kejam empat sekeluarga di Kampung Batang Rokan, Gemencheh, semalam selesai berikutan penangkapan suspek di Stesen LRT Masjid Jamek, Kuala Lumpur, petang tadi.

Polis juga mengesahkan kepala seorang mangsa, Ismail Awang, 76, yang dipenggal dalam pembunuhan itu masih belum ditemui.

Mangsa lain dalam pembunuhan kejam itu ialah Atan Daud, 90, yang juga bekas imam masjid kampung berkenaan serta isterinya, Sofiah Keatas, 80, dan anak Ismail, Siti Khadijah Ismail, 22.

Dr James Dawos Mamit akan dilantik Timbalan Menteri Pelancongan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Mambong, Datuk Dr James Dawos Mamit, akan mengangkat sumpah jawatan Timbalan Menteri Pelancongan bagi menggantikan Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib pada 13 Januari ini, menurut kenyataan akhbar Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Yang di-Pertuan Agong berkenan langkah kerajaan selesai isu guna kalimah Allah

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berkenan dengan langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mencari penyelesaian terhadap isu penggunaan perkataan Allah, kata Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Perdana Menteri berkata, Datuk Seri Najib Razak hari ini menghadap Seri Paduka Baginda untuk memaklumkan isu itu serta langkah-langkah yang diambil untuk mencari penyelesaian.

Menurut kenyataan itu, Perdana Menteri kemudian memaklumkan perkara itu kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat mingguannya hari ini.

Kenyataan itu menyebut bahawa memandangkan perkara berkenaan telah diserahkan kepada mahkamah, adalah wajar bagi semua pihak menghormati proses undang-undang negara.

"Sementara proses rayuan berjalan, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk tidak membuat sesuatu yang boleh menjejaskan kepentingan dan kesejahteraan awam," kata kenyataan itu. - Bernama

Keputusan benar guna kalimah Allah bertentangan Enakmen Ugama Bukan Islam: Mais

SHAH ALAM: Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Disember lalu membenarkan Herald-The Chatolic Weekly menggunakan kalimah Allah bertentangan dengan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) yang digubal berdasarkan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kalimah Allah hanya boleh digunakan umat Islam.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata, keputusan itu akan meletakkan pihak pemohon iaitu gereja Katolik sebagai pihak yang melakukan kesalahan jenayah mengikut Seksyen 9 enakmen berkenaan.

Katanya, ini berikutan tindakannya menggunakan kalimah Allah iaitu yang menjadi satu perkataan dan perbahasan tertentu bersumberkan Islam yang disenaraikan dalam bahagian I jadual enakmen berkenaan yang dilarang penggunaannya oleh orang bukan Islam.

Terdapat 10 negeri yang memperuntukkan larangan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam mengikut enakmen itu kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

"Penghakiman ini juga bertentangan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang kali ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 yang menyatakan bahawa lafaz Allah adalah kalimah suci khusus bagi agama serta umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama bukan Islam lain.

"Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan jika terdapat unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah itu, ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," kata majlis itu dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Mais berkata, bagi memastikan masyarakat Islam jelas berkaitan isu berkenaan, majlis itu dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan memberi penerangan secara berperingkat.

Pada peringkat awal, katanya, imam di masjid negeri dan masjid di sembilan daerah di negeri ini akan membacakan khutbah Jumaat berkaitan isu itu esok (Jumaat).

Selain bacaan khutbah, bantahan secara aman dengan menggantung kain rentang sebagai tanda penentangan penggunaan kalimah itu di kalangan bukan Islam akan diadakan di semua masjid berkenaan pada hari sama.