Followers

Thursday, October 1, 2009

Gempa Padang: 75 disahkan mati setakat malam tadi

JAKARTA: Sekurang-kurangnya 75 orang disahkan mati dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter di wilayah Sumatera Barat, Indonesia setakat malam tadi.

Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla berkata jumlah sebenar kematian belum dapat dipastikan tetapi laporan awal yang diterimanya daripada Datuk Bandar Padang menyebut semua mangsa mati di hospital.

"Mungkin angka kematian akan bertambah kerana masih banyak dipercayai terperangkap dalam runtuhan bangunan termasuk hotel," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Kabinet di kediamannya di sini, malam tadi.

Mesyuarat itu, menurut laporan media massa tempatan online dihadiri beberapa menteri kabinet yang berkaitan dengan pengurusan bencana.

Jusuf berkata ketika ini Kota Padang gelap gelita akibat terputus bekalan elektrik dan hujan lebat yang masih turun.

Sementara itu, enam pegawai kedutaan besar Malaysia di sini tidak dapat berangkat ke Padang malam ini kerana Lapangan Terbang Minangkabau ditutup akibat kerosakan yang dialami dalam kejadian gempa pada jam 5.16 petang Rabu.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Dr Junaidi Abu Bakar berkata mereka akan berangkat dengan kapal terbang pertama yang dibenarkan terbang dari sini ke Padang hari ini untuk membantu 330 pelajar Malaysia di Padang, yang walaupun selamat tetapi kehilangan tempat tinggal kerana rumah-rumah mereka runtuh. - Bernama

Pusat Amaran Tsunami Pasifik tarik balik amaran tsunami

KUALA LUMPUR: Selepas kurang satu jam Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami ke atas Indonesia, Malaysia, India dan Thailand, pusat terbabit menarik balik amaran berkenaan.

Ia susulan gempa bumi kuat yang melanda selatan Sumatera berukuran 7.9 Richter pada jam 6.20 petang tadi yang turut menggegarkan pantai barat Semenanjung.

Laporan Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS), menyatakan bahawa gempa yang berlaku jam 5.16 petang (waktu Jakarta) di selatan Sumatera membabitkan Kuala Lumpur dengan jarak 480 kilometer dari pusat gempa; Padang, Pekanbaru dan Sibolga.

Pelajar Malaysia di Padang selamat

JAKARTA: Seramai 330 pelajar Malaysia di Padang, Sumatera dilaporkan selamat selepas kejadian gempa bumi yang berlaku berhampiran bandar itu, demikian disahkan oleh Jabatan Penuntut Malaysia di sini.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia, Dr Junaidi Abu Bakar, berkata 80 peratus daripada pelajar sudah berkumpul di lapangan kampus perubatan Universiti Andalas sehingga jam 6.30 petang tadi.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa bumi berskala 7.7 Richter berlaku di selatan Sumatera jam 6.16 petang menyebabkan gegaran turut dirasai di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia.

Gempa bumi itu berlaku kira-kira 60 kilometer (km) barat daya bandar Padang di Sumatera dan 452 km barat daya Melaka.

Sementara itu, Pusat Tsunami Pasifik menarik balik amaran tsunami yang dikeluarkan selepas gempa bumi itu. - bernama

Gegaran susulan 5.4 Richter selang 20 minit

KUALA LUMPUR: Gegaran kedua gempa bumi berukuran 5.4 Richter yang melanda selatan Sumatera pada jam 6.38 petang tadi, susulan gempa pertama kira-kira 20 minit lalu.

Ia turut menggegarkan pantai barat Semenanjung berikutan gempa pertama berukuran 7.9 Richter di pusat gempa selatan Sumatera.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami terhadap Indonesia, Malaysia, India dan Thailand.

Bagaimanapun, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataannya petang ini bahawa tiada amaran ancaman tsunami berikutan kejadian gempa kuat itu.