Followers

Thursday, November 25, 2010

Malaysia sedia jadi hab minyak dan gas dunia: PM

JOHOR BAHRU: Malaysia bakal menjadi antara empat hab minyak dan gas laut dalam dunia, setanding pemimpin industri seperti Amerika syarikat, Brazil dan Eropah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata rantau Asia Pasifik memperlihatkan minat yang semakin meningkat terhadap pembangunan laut dalam dan Malaysia sudahpun berada pada kedudukan ke hadapan dalam pembangunan ini.
"Kita sudahpun menjadi hab yang kukuh dalam industri sublaut dan tidak lama lagi akan menjadi empat hab minyak dan gas laut dalam dunia, sebaris dengan pemimpin industri seperti Amerika Syarikat, Brazil dan Eropah," katanya semasa merasmikan kilang Asiaflex Products Sdn Bhd, milik Technip, di Tanjung Langsat, dekat Pasir Gudang, hari ini.
Kilang itu, pertama di Asia Pasifik, akan mengeluarkan paip fleksibel dan umblikal berteknologi tinggi di Timur Tengah.

Najib berkata, bagi negara yang secara relatifnya kecil seperti Malaysia, ia adalah kejayaan membanggakan memandangkan pertumbuhan negara dalam bidang ini berlaku secara organik, menggunakan bakat tempatan dengan usaha sama peserta industri global.

Katanya, industri minyak dan gas Malaysia berkembang pada kadar yang baik dan sektor itu kini merupakan segmen penting dalam ekonomi negara, dengan perniagaan huluan dan hiliran menyumbang RM17 bilion terhadap ekonomi, tahun lalu.

"Sejak itu, Malaysia sudah berkembang, daripada semata-mata menjadi pembekal minyak mentah dan gas kepada menjadi penyedia perkakasan dan perkhidmatan bernilai tambah, di peringkat domestik dan Asia Pasifik," katanya.
Perdana Menteri berkata, kilang Asiaflex di Tanjung Langsat, Malaysia, kini menjadi pengeluar paip fleksibel pertama di Asia Pasidik, yang akan mengukuhkan lagi kepimpinan negara dalam pasaran laut dalam dan meluaskan pengukuhannya dalam sektor minyak dan gas luar pesisir.

Katanya, kemudahan Asiaflex bernilai 150 juta euro di Tanjung Langsat, ialah kilang ketiga Technip di dunia, selepas Perancis dan Brazil.


"Ia membuktikan minat kukuh perniagaan terhadap kawasan khusus di Malaysia ini dan secara relatifnya merupakan kejayaan awal yang kita alami sejak pembentukan Wilayah Iskandar, katanya.

Najib berkata, lokasi di Tanjung Langsat ini membolehkan Asiaflex Products memberi perkhidmatan kepada pasaran minyak dan gas laut dalam di Australia, Asia dan Timur Tengah secara serentak.

"Ini penting memandangkan pertumbuhan pesat dalam medan minyak di rantau ini sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Najib juga berkata, kehadiran syarikat seperti Technip sangat kritikal jika negara mahu merealisasikan matlamat tempoh sederhana untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dengan pekerja mahir.

Katanya, pemindahan teknologi dan peluang pekerjaan akan menjadi penyumbang utama menambah bilangan pekerja mahir di wilayah terbabit (Iskandar Malaysia).

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Technip, Thierry Pilenko, berkata syarikatnya memutuskan untuk menempatkan kilang di Tanjung Langsat selepas tertarik dengan usaha kerajaan menjadikan Malaysia hab laut dalam keempat selepas Houston, Rio de Janeiro dan Eropah.

"Visi itulah yang menggalakkan Technip menimbang Tanjung Langsat sebagai lokasi kemudahan pertama kami di Asia," katanya.

Beliau turut memuji Malaysia kerana menyediakan infrastruktur yang tepat selain proses kawal aturan untuk memudahkan pelaburan seperti itu. - BERNAMA

0 comments:

There was an error in this gadget