Followers

Sunday, November 21, 2010

Keputusan pemilihan PKR diketahui pada Kongres Nasional

KUALA LUMPUR 21 Nov — Pemenang bagi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Naib Presiden, Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Ketua Wanita dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) bagi penggal 2010-2013 dijangka diumumkan pada hari terakhir Kongres Nasional Tahunan PKR.

Kongres tersebut yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat depan akan diadakan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dekat sini.

Sehingga 14 Nov lepas, keputusan terhadap saingan bagi jawatan timbalan presiden menyaksikan Naib Presiden Mohamed Azmin Ali mendahului kedudukan dengan kelebihan undi sebanyak 11,350 undi.

Mohamed Azmin meraih 14,751 undi manakala pencabarnya Naib Presiden dan Pengerusi PKR Perak Mustaffa Kamil Ayub memperoleh 3,401 undi.

Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah, yang juga anak kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendahului saingan bagi jawatan naib presiden yang memperuntukkan empat tempat dengan kelebihan undi sebanyak 1,518 undi daripada pencabar terdekatnya Pengarah Strategi PKR Tian Chua.

Nurul Izzah memperoleh 11,042 undi manakala Tian Chua dengan 9,524 undi dan mereka diikuti Pengarah Pilihan Raya Fuziah Salleh (7,878) serta Pengerusi PKR Pulau Pinang Mansor Othman (7,448).

Bagi jawatan anggota MPP yang memperuntukkan 20 tempat, Ketua Penerangan Wanita PKR, Elizabeth Wong Keat Ping mendahului saingan dengan memperoleh 8,367 undi; diikuti anggota MPP, Dr. Badrul Amin Baharon (7,814), anggota MPP Hee Loy Sian (6,694), Pengarah Pemantapan Politik Keanggotaan, Datuk Johari Abdul (6,570), dan anggota MPP, Khalid Jaafar (6,406).

Saingan Ketua Wanita PKR menyaksikan penyandangnya Zuraida Kamaruddin mendahului dua calon lain dengan kelebihan 2,362 undi.

Beliau memperoleh 4,510 undi manakala pencabarnya, timbalan pengerusi 2 Perlis, Dr. Suraya Sudin memperoleh 1,181 undi serta anggota MPP, Animah Ferrar dengan 967 undi.

Saingan bagi jawatan Ketua AMK pula, pertandingan dilihat sengit di antara penyandangnya Shamsul Iskandar Mohd. Akin dan anggota MPP, Badrul Hisham Shaharin.

Shamsul Iskandar memperoleh 3,981 undi manakala Badrul Hisham 3,273 undi, beza undi adalah sebanyak 708 undi.

Hari ini adalah hari terakhir pemilihan MPP, baki sebanyak 37 cabang lagi di Johor, Selangor, Sarawak dan Sabah akan mengadakan pemilihan MPP, manakala 15 cabang lagi telah selesai mengadakan pemilihannya semalam.

Kongres Nasional Tahunan PKR bersidang setahun sekali dan ia dihadiri oleh wakil-wakil yang dipilih di peringkat cabang, Majlis Pimpinan Negeri (MPN), AMK, Wanita dan anggota-anggota MPP. — Bernama

0 comments:

There was an error in this gadget