Followers

Sunday, August 22, 2010

Remaja lelaki mangsa kedua leptospirosis di Kedah

ALOR SETAR: Seorang remaja lelaki berumur 17 tahun menjadi mangsa kedua yang meninggal dunia akibat jangkitan kencing tikus atau leptospirosis di Kedah tahun ini.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Marzukhi Md Isa, berkata remaja itu meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah semalam setelah dipercayai mandi di kawasan rekreasi Puncak Janing, Kuala Nerang, pada 16 Julai lalu.
"Dia mandi bersama empat rakannya di kawasan rekreasi itu, tetapi rakan-rakannya tidak menunjukkan simptom penyakit itu," katanya.
Beliau berkata, walaupun empat lagi rakan remaja itu sihat, tetapi mereka diberi rawatan berterusan kerana penyakit itu boleh dikesan paling awal selepas tiga hari dan paling lambat selepas 15 hari terdedah dengan bakteria berkenaan.

Katanya, selain Puncak Janing, dua lagi kawasan rekreasi di Kedah iaitu Lata Bayu di Baling dan Bukit Wang di Jitra masih ditutup kepada orang ramai.

"Saya menerima laporan masih ada orang yang mengunjungi Puncak Janing walaupun kawasan itu ditutup kepada orang ramai, jadi saya nasihatkan supaya mereka tidak mengunjungi kawasan itu lagi," katanya.

Kematian pertama disebabkan wabak ini di Kedah adalah pada awal bulan ini apabila seorang kakitangan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang berusia 30-an meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam, Pulau Pinang, selepas berkelah di kawasan perkelahan Lata Bayu, Baling. - BERNAMA

0 comments: