Followers

Tuesday, August 3, 2010

Malaysia catat pertumbuhan satu angka yang tinggi pada suku kedua: Nor Mohamed

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan satu angka yang tinggi bagi suku kedua tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop hari ini.

Beliau berkata, petunjuk seperti peningkatan pada dagangan, import dan eksport adalah kukuh dan menunjukkan momentum positif, dan ini akan mendorong kepada pencapaian sasaran itu.
"Suku kedua akan lebih baik dan momentum juga kelihatan bagus. Kami menjangka pertumbuhan satu digit tinggi bagi suku tahun kedua," katanya selepas membuka Konvensyen Harta Tanah Kebangsaan ke-21 di sini.
Mengulas sama ada kerajaan akan menyemak semula sasaran pertumbuhan enam peratus untuk tahun ini, Nor Mohamed berkata: "Jika ada keperluan, kami akan menimbangkan untuk menyemak KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar)."

Beliau yakin bahawa sasaran itu akan dicapai.

Dalam ucaptamanya, Nor Mohamed berkata, sasaran Malaysia untuk mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2020 memerlukan negara mencapai pertumbuhan KDNK sebenar sebanyak enam peratus setahun pada tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dengan Pendapatan Kebangsaan Kasar perkapita pada RM38,850 atau US$12,140 pada 2015.

Beliau berkata, cabaran utama dalam mencapai sasaran pertumbuhan adalah keperluan untuk menggalakkan pelaburan sektor swasta berkembang pada 12.8 peratus setahun atau pelaburan sebanyak RM115 bilion setahun.
Dalam konteks ini, beliau berkata, RMKe-10 menumpukan kepada beberapa inisiatif utama untuk membantu sektor swasta untuk menjadi lebih terangsang, kompetitif, dinamik dan meningkatkan peranannya dengan berkesan untuk membantu Malaysia mencapai sasaran itu.

Dalam usaha untuk mengubah Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi, beliau berkata, salah satu strategi dasar utama dalam rancangan itu ialah meningkatkan tahap kependudukan bandar-bandar.

Ketika ini, 67 peratus daripada penduduk Malaysia tinggal di kawasan bandar dan peratusan ini dijangka meningkat kepada 70 peratus menjelang 2020.

"Oleh itu, untuk menampung peningkatan penduduk di bandaraya besar, kita akan menumpukan kepada pembangunan kawasan bandar untuk memastikan kawasan tersebut dilengkapi semua prasarana dan kemudahan yang diperlukan," katanya. - Bernama

0 comments: